Dengan musim baru Liga Perdana Inggeris bakal menjelang dalam tempoh dua minggu, kelihatan kesemua pasukan besar telah melakukan persiapan rapi dengan cara tersendiri.

Chelsea menimbulkan rasa teruja dengan bergerak aktif dalam pasaran perpindahan, Manchester City dan Liverpool masing-masing menambah penyerang kelas dunia, Erling Haaland dan Darwin Nunez, untuk memantapkan barisan serangan, dan tidak dilupakan juga Arsenal dengan pembelian Gabriel Jesus.

Namun, seperti lumrahnya, pasukan yang paling banyak dibicarakan semestinya Manchester United – tidak kira sama ada langkahnya betul atau tempang.

Di sebalik ura-ura tanpa kesudahan melibatkan Cristiano Ronaldo, siri jelajah United di Thailand dan Australia setakat ini kelihatan cukup positif, dengan kemenangan 4-0 ke atas Liverpool melahirkan harapan buat penyokong yang sekian lama menanti.



Sikap pengurus baru, Erik ten Hag, yang menekankan ketegasan disiplin disambut baik oleh pemain-pemain yang telah “dimanjakan” buat sekian lama.

Antara peraturan baru yang diperkenalkan ten Hag adalah larangan untuk pemain mengambil minuman keras sepanjang musim, penggunaan cef peribadi, mengenakan denda kepada pemain yang tiba lewat untuk sesi latihan serta pemantauan berat badan secara konsisten.

Peraturan-peraturan baru ini mirip dengan apa yang dilakukan pengurus Barcelona, Xavi, sewaktu beliau mengambil alih pasukan musim lalu, dan hasilnya menyaksikan Blaugrana mengakhiri musim di tangga kedua La Liga.

Dalam temu bual eksklusif akhbar The Guardian bersama penjaga gol United, David De Gea, pemain itu memuji pembaharuan yang dibawa dan menegaskan bahawa persembahan United harus maju secara drastik musim baru ini dan segala kepahitan musim-musim lalu wajib ditebus sebaik-baiknya.

Pemain-pemain seperti Anthony Martial, Jadon Sancho dan Diogo Dalot yang hambar persembahan mereka pada musim lalu kelihatan seperti memperoleh nafas baru, dengan Martial serta Sancho masing-masing menyumbat tiga gol setakat ini.

Tidak salah untuk kesemua perkembangan positif ini disambut baik dan diraikan secara bersederhana, namun harus disedari oleh kesemua pihak bahawa cabaran sebenar masih belum bermula dan masalah yang membelenggu skuad masih tidak selesai sepenuhnya.

Bagaimana keadaan United nanti apabila Ronaldo kembali, ataupun mungkin tidak kembali?

Adakah aspek keharmonian yang dibina setakat ini bakal tergugat dengan kehadiran semula Ronaldo?

Bagaimana pula aksi mereka tanpa penjaring terbanyak musim lalu, jika perpindahan Ronaldo ditakdirkan berlaku?



Menyebut tentang perpindahan, adakah Frenkie De Jong bakal menyertai United akhirnya ataupun ia sekadar ura-ura tanpa hasil?

Setelah mengukuhkan barisan pertahanan dengan pembelian Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia, serta mendapatkan Christian Eriksen untuk menambah pilihan pemain di bahagian tengah, ten Hag telah menyatakan kepentingan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya seorang lagi pemain penyerang yang berkaliber.

Mampukah United mendapatkan apa yang mereka mahu dalam keadaan sebegini di mana kesemua pemain ternama direbut-rebut oleh kelab dengan faktor kewangan yang lebih kukuh?

Bagaimana agaknya aksi skuad baru United ini dalam tempoh dua minggu lagi?

Kita nantikan dengan penuh rasa teruja, pastinya.