Sewaktu tibanya Ralf Rangnick ke Manchester United untuk menggantikan tempat Ole Gunnar Solskjaer hujung tahun lalu, seantero dunia bola sepak tidak henti-henti menyebut bahawa 'nafas baru' yang teramat United perlukan telah tiba akhirnya.

Pelbagai artikel dan perkongsian tentang Rangnick dipaparkan di pelbagai saluran media, dengan julukan 'The Professor' dan 'Bapa Gegenpressing' berulang-ulang kali dilontarkan.

Tidak sampai setengah tahun kemudian, rata-rata penyokong kelab itu nampaknya tidak sabar-sabar lagi untuk menyingkirkan Rangnick dan segala harapan kini disandarkan kepada seorang lagi pengurus baru dari Belanda, Erik ten Hag, yang hampir pasti dilantik.

Juara liga Eredivisie sebanyak dua kali, pemenang Piala Belanda sebanyak dua kali juga, serta menduduki tempat keempat dalam Anugerah Pengurus Terbaik FIFA 2019, ten Hag merupakan pengurus yang dipandang tinggi atas dasar cara pasukan yang dikendalikannya bermain dan juga atas kemahiran pengurusan individu yang cemerlang.

Menurut kata-kata bekas pengendali pasukan kebangsaan England, Steve McLaren, ten Hag memiliki satu falsafah yang jelas tentang gaya bola sepak yang dia mahukan, keadaan persekitaran yang mahu diciptakan dan merupakan seseorang yang tegas dalam memastikan kesemua pemain mematuhi etika permainan yang sepatutnya.

Erik ten Hag adalah seorang pengurus yang tinggi kalibernya, itu tidak harus dinafikan.

Persoalannya sekarang hanyalah satu -- bukan pengurusnya yang harus dirisaukan tetapi kelab yang disertainya.

Menurut laporan akhbar The Daily Mail, ten Hag telah menerima sokongan yang cukup kukuh daripada kelabnya, Ajax Amsterdam, selama ini.

Ajax merupakan satu kelab dengan hierarki yang jelas dan dipimpin oleh tokoh-tokoh yang berpengalaman dan mahir, misalnya bekas penjaga gol United, Edwin van der Sar.

Apa yang menanti ten Hag di United pula adalah sesuatu yang sama sekali berbeza.



Dalam satu temu bual bersama bekas pengurus United, Louis van Gaal, amaran yang dikeluarkannya adalah Manchester United ketika ini merupakan satu kelab komersial, bukannya kelab bola sepak seperti yang sepatutnya.

Pelbagai masalah bakal dilemparkan kepada beliau untuk diselesaikan serta-merta.

Ego pemain yang tinggi, ketidakharmonian yang berlarutan buat sekian lama, pemain-pemain malas dan enggan beradaptasi dengan gaya baru, pemain-pemain yang tidak sabar-sabar lagi untuk angkat kaki -- cukup banyak sekali halangannya.

Sistem 'gegenpressing' yang disebut-sebut bakal Rangnick terapkan dalam pasukan ternyata hanya tinggal khayalan, manakala sistem ten Hag sendiri juga merupakan sistem yang menuntut daya usaha tinggi dan semangat waja.

Sistem sebegini sememangnya jelas kelihatan di kelab lain seperti Manchester City dan Liverpool, tetapi tidak sama sekali untuk United.



Selagi masalah dalaman sebegini tidak diselesaikan secepat mungkin, pengurus sehebat mana sekalipun akan tetap gagal untuk mengembalikan United ke mercu yang telah lama hilang.

Biarpun ura-ura mengatakan pelantikan ten Hag sebagai pengurus rasmi United hanya menanti masa, jika beliau menyedari betapa berat dan parahnya keadaan sebenar di sebalik tabir, adakah ketibaannya masih lagi satu perkara yang pasti?

Bak kata satu komen yang melucukan di media sosial, "Dengan keadaan United sekarang ini, ten Hag tidak cukup untuk mengubah keadaan, kita perlukan twenty Hag.