Pertahanan tengah Barcelona dan Perancis, Samuel Umtiti, tidak menjangkakan rakan senegaranya, Antoine Griezmann, untuk menyertainya di Camp Nou dan yakin penyerang berkenaan gembira di Atletico Madrid.

Griezmann hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Barca musim lalu sebelum melanjutkan perjanjian bersama Atletico, Jun lalu dengan mengumumkannya melalui satu rakaman dokumentari.

Walaupun Griezmann pernah menolak peluang untuk menyertai Barca, spekulasi timbul semula dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila skuad Catalan itu dilaporkan akan cuba memancingnya lagi pada akhir musim ini.

Umtiti amat mengenali keupayaan Griezmann setelah beraksi bersama-sama dengannya di peringkat antarabangsa. Lantas, dia berpendapat penggempur berumur 28 tahun itu pasti akan menyesal sekiranya dia memutuskan untuk berhijrah.

"Saya tahu Antoine sangat gembira di Madrid, ia bagus untuknya," kata Umtiti kepada TF1.

"Pasukan itu dibentuk khas untuknya. Dalam perjalanan kerjaya ini, terdapat pilihan yang boleh kami sambar dan ada yang akan disesali.

"Saya tahu dia gembira di sana. Berdasarkan kualitinya, dia mampu menyertai mana-mana kelab di seluruh dunia, sama ada di Barcelona atau di tempat lain. Dia akan gembira dan berjaya."

Griezmann dan Umtiti merupakan sebahagian daripada anggota utama skuad Perancis yang memenangi Piala Dunia tahun lalu, namun pertahanan Barca itu terpaksa membayar harga yang mahal secara fizikal.

Kecederaan lutut yang berulang dideritainya menjelang temasya Russia 2018 -- sekali gus membatasi aksinya kepada hanya sembilan penampilan LaLiga musim ini -- tetapi dia terus kental demi merebut tempat dalam Piala Dunia.

"Saya mengambil risiko dalam Piala Dunia," katanya. "Saya benar-benar mahu beraksi kerana ia hanya dilangsungkan setiap empat tahun dan kami tidak semestinya memperoleh kesempatan itu sepanjang kerjaya.

"Ia adalah impian saya. Oleh itu, saya menambah sedikit tekanan kepada lutut dan ia mencetuskan masalah rumit pada musim ini tetapi saya tidak menyesal.

"Lutut saya kembali pulih, saya sudah bersedia untuk beraksi. Namun, jurulatih akan membuat pilihan. Saya dalam keadaan baik, saya cuba mengembalikan rentak selepas beberapa bulan tidak aktif.

"Ia agak rumit tetapi dengan latihan dan pertandingan berterusan, saya akan mendapat rentak dan semakin meningkat. Saya mempunyai naluri yang baik tentang hal ini dan saya berasa semakin meningkat dalam setiap perlawanan."

Kedua-dua pemain itu sedang menggalas tanggungjawab antarabangsa bersama Perancis yang akan menghadapi Iceland dalam Kumpulan H, awal pagi esok.