Samuel Umtiti mengalami kecederaan dalam sesi latihan kedua selepas Barcelona kembali meneruskan latihan di Ciutat Esportiva.

Pertahanan tengah itu mengalami kecederaan di betis kanannya, demikian disahkan pasukan pendahulu LaLiga itu dalam satu kenyataan ringkas.

Barca kembali berlatih kelmarin selepas pemain dan pegawainya menjalani ujian koronavirus demi memastikan mereka dapat meneruskannya dalam keadaan selamat.

Semalam, setiap pemain mereka diasingkan kepada tiga kumpulan bagi menjalani latihan dengan mengekalkan penjarakan sosial.

Pasukan LaLiga telah diberikan kebenaran untuk kembali menggunakan fasiliti latihan sebagai sebahagian daripada langkah persediaan untuk menyambung kejohanan itu bulan depan.

Barca kini di puncak liga dengan kelebihan dua mata di depan Real Madrid sebelum liga itu direhatkan Mac lalu.