Ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, menganggap sekurang-kurangnya satu mata perlu dilunaskan anak buahnya sebagai tuntutan terakhir menjelang pertemuan Piala Malaysia dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sendiri malam ini.

Pasukannya masih gagal mengutip sebarang mata menjelang perlawanan terakhir Kumpulan B itu.

Justeru, Ismail berharap pasukannya dapat menamatkan kempen kali ini dengan sekurang-kurangnya satu mata di laman sendiri sebagai penutup terbaik buat UiTM, yang majoritinya dibarisi pelajar institusi pengajian tinggi.

"Ia perlawanan terakhir (musim ini) dan saya harap setiap pemain dapat menonjolkan diri mereka.

"Mereka perlu menunjukkan keupayaan dan kesungguhan sebenar untuk bersaing dan sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata.

"Kami sedar keupayaan JDT, mereka salah satu pasukan terbaik di Malaysia.

"Kalau dapat satu mata pun, ia sudah menjadi kejayaan besar buat kami malam ini," katanya.

Bagaimanapun, Ismail mengakui JDT memiliki kualiti yang jauh lebih tinggi berdasarkan reputasi lawan itu selaku pasukan tersohor di Malaysia.

"Kalau nak bandingkan reputasi UiTM dan JDT memang terlalu jauh tetapi tidaklah sampai seperti langit dengan bumi.

"Kualiti mereka berbeza dengan UiTM dan kami tewas 1-3 di tempat mereka.

"Walaupun kami kalah, prestasi yang dipamerkan pasukan saya ketika itu agak baik," tambahnya.