Erik ten Hag memberi bayangan bahawa Harry Maguire akan memainkan peranan penting buat Manchester United berikutan kecederaan seorang lagi pertahanan tengah, Raphael Varane.

Maguire hanya melakukan dua penampilan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Ten Hag mengambil alih pasukan itu -- ketika tewas dua perlawanan berturut-turut, masing-masing kepada Brighton and Hove Albion dan Brentford, pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, dia kelihatan akan kembali mendapat tempat selepas Varane terpaksa berehat panjang sehingga Piala Dunia Qatar bulan depan -- mengalami kecederaan kaki ketika United terikat 1-1 dengan Chelsea minggu lalu.

Bercakap menjelang perlawanan Liga Europa (UEL) menentang Shariff awal pagi esok, Ten Hag berkata Maguire memiliki kualiti yang ideal untuk membantu The Red Devils.

"Dia sentiasa memiliki peranan penting untuk dijalankan. Dia mengalami kecederaan dan saya gembira dia kini kembali.

"Dan kini, dia perlu kembali dalam perlawanan.

"Saya faham kepentingannya tetapi kita perlu lihat United. Kami memerlukan keputusan yang tepat.

"Ia sentiasa mengenai prestasi, ia mengenai persembahan. Berkenaan kualitinya, memang tiada masalah.

"Dia seorang pemain yang hebat dan memiliki kemampuan yang hebat untuk melakukan tugasnya buat kami," katanya.