Mikel Arteta menegaskan kepentingan untuk Arsenal menjuarai Kumpulan A dalam saingan Liga Europa (UEL) menjelang pertemuan dengan PSV awal pagi esok.

The Gunners mengesahkan kelayakan ke pusingan kalah mati menerusi kemenangan 1-0 ke atas lawan dari Belanda itu minggu lalu dan hanya satu mata diperlukan mereka dalam pertemuan di Philips Stadion kali ini untuk mengesahkan tempat selaku juara kumpulan.

Mana-mana pasukan yang menjadi naib juara Kumpulan A akan berdepan aksi playoff dua perlawanan menentang salah satu daripada lapan pasukan yang diturunkan daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL), antaranya Juventus dan Barcelona.

Arteta menggesa pasukannya agar mengelakkan daripada perlawanan itu, yang tidak sepatutnya dilalui mereka.

"Minggu lalu, kami telah melakukan langkah pertama untuk layak ke pusingan berikutnya. Kami perlu menang (awal pagi esok) kerana kami mahu menamatkannya di tempat teratas," kata pengurus berbangsa Sepanyol itu dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Kejohanan ini akan menjadi semakin sukar dan berdasarkan bagaimana ia kelihatan hari ini dan apa kemungkinan yang akan tiba, ia kelihatan bahawa pusingan seterusnya akan menjadi amat kompetitif.

"kerana itulah menamatkan peringkat kumpulan di tempat teratas dan mengelakkan dua perlawanan ini adalah penting untuk kami," katanya.