BARCELONA 2 MANCHESTER UNITED 2

Aksi cemerlang Marcus Rashford belum cukup untuk memastikan kemenangan Manchester United apabila Raphinha menjaringkan gol penyamaan untuk Barcelona mengikat kedudukan 2-2 dalam perlawanan playoff pusingan kalah mati Liga Europa (UEL) awal pagi tadi.

Rashford menjaringkan golnya yang ke-22 musim ini -- menyamai rekod terbaiknya dalam satu kempen -- untuk memadamkan jaringan pembukaan Marcos Alonso dalam aksi menghiburkan di Camp Nou itu.

United kemudian berada di depan selepas sembilan minit ketinggalan, juga hasil usaha Rashford, yang berfikiran cerdas memanfaatkan satu sepakan penjuru yang diambil pendek sehingga Jules Kounde terjaring gol ke gawang sendiri.

Bagaimanapun, Barca -- yang kehilangan perancang utama, Pedri, kerana kecederaan dalam babak pertama -- kembali mengikat kedudukan pada minit ke-76 apabila Raphinha melakukan lintangan yang terus menerjah masuk ke gawang United, sekali gus menjadikan aksi timbal balik di Old Trafford minggu depan semakin menarik untuk disaksikan.