UEFA akan memperkenalkan garis panduan mengenai kelayakan untuk setiap kejohanan jika liga domestik tidak dapat ditamatkan tetapi sekali lagi mengingatkan ia perlu cuba dilengkapkan.

Coronavirus terus menghantui jadual bola sepak tatkala musim 2019-20 ditangguhkan di serata Eropah sehingga memaksa Euro 2020 ditunda sehingga tahun depan.

Saingan Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa juga ditangguhkan bulan lalu selepas semua aksi tampak tidak dapat diteruskan.

Sehingga kini, tiada tetapan untuk saingan disambung sambil Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, mendedahkan kemungkinan besar kempen dibatalkan jika ia tidak dapat bersambung Jun nanti.

Sidang video bersama 55 negara ahli semalam menyaksikan UEFA memaklumkan bahawa semua keputuasn akan diumumkan Khamis nanti.

"UEFA bersidang bersama 55 ahli menerusi sidang video dan membincangkan kemaskini tentang pilihan melibatkan dua pihak," kata wakil badan itu.

"Pelbagai pilihan kalendar dicadangkan untuk sebarang aksi antarabangsa dan kelab.

"Dana persatuan kebangsaan menerusi program HatTrick UEFA juga dibincangkan termasuk komitmen untuk urusan pembayaran kepada ahli persatuan.

"Terdapat cadangan untuk menamatkan saingan domestik divisyen atas serta kejohanan trofi tetapi sesetengah kes akan didengarkan selepas garis panduan untuk saingan Eropah -- sekiranya dibatalkan -- telah disediakan.