ROMA 1 LEICESTER 0
(Roma mara dengan agregat 2-1)

Jose Mourinho membara ketika meluahkan hajatnya dengan untuk membawa trofi ke Roma selepas mara ke final Liga Persidangan Europa (UECL) dengan mengisytiharkan: "Ini adalah Liga Juara-Juara (UCL) kami."


Pasukan Itali itu akan beraksi dalam final pertama pertandingan itu, 26 Mei ini, selepas menewaskan Leicester City 1-0 di Stadio Olimpico untuk memastikan kejayaan agregat 2-1, sebentar tadi.

Sejurus perlawanan, pengurus itu pantas memikirkan kepentingan kemenangan berkenaan dalam misi menghadiahkan Roma trofi pertama Eropah sejak Piala Inter-Cities Fairs 1961.

Lantas, dia menegaskan saingan divisyen tiga benua itu sama nilainya dengan meraih anugerah dalam bola sepak Eropah yang lebih tinggi berkenaan.

Dia memberitahu BT Sport: "Apabila anda bekerja di Rom, tinggal di Rom, bernafas Rom dan anda menghirup udara kelab ini kerana kelab ini adalah kelab sejati bandar ini.

"Saya sudah berasakan sejak hari pertama lagi bahawa ini adalah kelab yang besar.




"Seperti yang anda saksikan tetapi tiada kemenangan dan tidak banyak perlawanan akhir. Sejarah tidak mencerminkan hakikat sebenar dimensi sosial kelab ini.

“Kami berjaya membina sebuah pasukan bagus yang membuka selangkah demi selangkah dan kami mampu mengalahkan sebuah pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang hadir dari dimensi berbeza.

"Jadi saya sangat-sangat beremosi. Sudah tentu saya pernah melalui peristiwa yang lebih besar daripada ini tetapi kali ini saya tidak berasakannya untuk diri sendiri, saya memahami perasaan orang ramai dan pemain saya.

"Ini untuk kami adalah UCL kami."