Pengurus Barcelona, Xavi, menuntut suasana gegak-gempita dalam perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Paris St Germain.

Barca memiliki kelebihan tipis 3-2 dalam pertemuan di Paris minggu lalu ketika mereka berusaha untuk melangkah ke separuh akhir buat kali kedua dalam tempoh lapan musim sejak menjulang trofi pada 2015.

Kerja-kerja pembinaan di Nou Camp sedang berjalan sebagai sebahagian daripada pengubahsuaian, lantas Xavi menyeru peminat kelab itu agar menjadikan gelanggang sementara mereka di Estadio Olimpic Lluis Companys itu sebagai medan sorakan.

Dia memberitahu sidang akhbar: “Kami akan beraksi di laman sendiri dan (stadium) Montjuic seharusnya menjadi venue kepada malam yang getir. Suasananya mestilah menjadi takat didih.




“Kami memerlukan peminat kerana akan ada detik sukar sementara PSG akan membuatkan kami bekerja keras. Oleh itu, kami perlu bersatu.

“Kami perlu mengawal diri dan memanfaatkan peluang tetapi ia akan menjadi sukar. PSG akan mengasak kerana (pengurus mereka) Luis Enrique, pastinya tidak akan duduk diam. Saya cukup mengenalinya dan saya tahu mereka akan meletakkan kami di bawah tekanan hebat.

“Kami bakal menentang salah sebuah pasukan terbaik di dunia, salah sebuah pasukan yang paling sukar dihadapi dan mereka tidak akan menghadiahkan kami apa-apa.

"Luis Enrique merupakan salah seorang jurulatih terbaik di dunia.”