Ketua jurulatih Ajax, Erik ten Hag, berkata kekalahan pasukannya merupakan sesuatu yang pahit untuk ditelan selepas disingkirkan Benfica dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Juara bertahan Eredivisie itu menguasai hampir keseluruhan permainan dengan 70 peratus penguasaan bola dan sepatutnya dapat mencari gol kemenangan selepas terikat 2-2 dalam perlawanan pertama pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun, tandukan Darwin Nunez memastikan kemenangan agregat 3-2 buat Benfica -- gol keempatnya dalam UCL musim ini dan hanya Nuno Gomez pernah mendaftarkan lebih banyak jaringan dalam satu musim era UCL sepanjang sejarah kelab itu (lima gol musim 1998-99).

Ia juga bermakna Ajax menjadi pasukan kedua menjaringkan 22 gol atau lebih tanpa layak ke suku akhir kejohanan itu selepas Paris Saint-Germain (PSG) mejaringkan 27 gol tetapi gagal ke peringkat sama musim 2017-18.

Ten Hag kecewa pasukannya tidak dapat memanfaatkan dominasi mereka sehingga Ajax gagal ke suku akhir buat kali ke-11 sepanjang 12 percubaan terakhir mereka -- hanya layak ke peringkat itu sewaktu musim 2002-03.

"Kami bermain dengan baik, kami bagus ketika bertahan dan kami juga bermain baik ketika memberikan tekanan. Dan ia menjadi lebih pahit apabila anda tidak menang," kata Ten Hag kepada RTL selepas perlawanan itu.

"Tetapi kesilapan kecil mengundang akibat yang besar, anda dapat melihatnya malam ini dan ketika di Lisbon.

"Kami sedar mereka pasukan yang hebat ketika set-piece dan terdapat salah faham di antara dua pemain kami.

"Kami dapat mengekang mereka hampir keseluruhan aksi kecuali momen itu," katanya.