AJAX 0 BENFICA 1
(Benfica ke suku akhir dengan kelebihan agregat 3-2)

Gol tandukan lewat permainan Darwin Nunez memastikan Benfica layak ke suku akhir dengan kelebihan agregat 3-2 selepas menewaskan Ajax 1-0 dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi.

Selepas terikat 2-2 di Lisbon tiga minggu lalu, perlawanan kedua di Arena Johan Cruijff itu menjadi penentu pasukan mana yang akan ke suku akhir dan skuad tuan rumah bimbingan Erik ten Hag berkenaan pada awalnya kelihatan lebih mendominasi pelawat.

Bagaimanapun, Benfica lebih bijak dalam menghidu peluang terhidang, di mana Nunez menanduk kencang percubaan tepat pertama pasukan Portugal itu pada minit ke-77 dan berhasil membawa skuad kendalian Nelson Verisimo berkenaan ke suku akhir.

Benfica kini akan menantikan undian peringkat suku akhir Jumaat ini bagi mengetahui lawan mereka, di mana dua perlawanan timbal balik itu akan berlangsung bulan depan.