Carlo Ancelotti percaya sejarah Real Madrid telah membantu menginspirasikan kebangkitan sensasi mereka dalam separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Manchester City awal pagi tadi.

Los Blancos bangkit daripada ambang kekalahan untuk merampas kemenangan dramatik 3-1 di Santiago Bernabeu dan menempah tempat ke final di Paris, di mana mereka akan menentang Liverpool pada 28 Mei.

Pasukan kendalian Ancelotti ketinggalan 5-3 secara agregat apabila Riyad Mahrez menyumbat jaringan untuk City pada minit ke-73, tetapi Rodrygo menjaringkan dua gol dalam masa 91 saat untuk memaksa masa tambahan.

Sepakan penalti Karim Benzema mencetuskan pertembungan dengan Liverpool dan ulangan perlawanan akhir 2018, yang dimenangi Madrid 3-1 di Kyiv hasil dua gol daripada Gareth Bale yang menakjubkan.

Ia adalah pusingan ketiga berturut-turut di mana juara 13 kali itu bangkit daripada ketinggalan, setelah melakukan perkara yang sama menentang Paris Saint-Germain dan Chelsea masing-masing dalam 16 terakhir dan suku akhir.

Ancelotti akan menjadi pengurus pertama yang menyelia lima perlawanan akhir Liga Juara-Juara, dan pengendali kelahiran Itali itu memuji kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemainnya.

“Saya tidak boleh kata kita sudah biasa mengharungi situasi ini,” katanya. “Tetapi apa yang berlaku malam ini, ia berlaku ketika menentang Chelsea dan juga menentang PSG.

"Jika anda perlu katakan mengapa, ia adalah sejarah kelab ini yang membantu kami untuk terus maju apabila nampaknya kami sudah tiada. Ia memberi anda kekuatan untuk mengikuti, meneruskan, untuk percaya.

"Perlawanan itu sangat kompetitif, tetapi pasukan tidak menurunkan tangan mereka. Kebanyakan merit adalah daripada pemain, dan peminat yang menolak di dalam dan di luar stadium - pada hari-hari sebelumnya juga.

"Perlawanan hampir tamat, dan kami berjaya mencari tenaga terakhir yang kami ada. Kami bermain dengan baik menentang saingan kuat. Apabila kami dapat menyamakan kedudukan, kami mempunyai kelebihan psikologi pada masa tambahan.

"Ia sukar kerana City mengawal permainan tetapi pada peluang terakhir, kami dapat membawa perlawanan ke masa tambahan."