Julian Nagelsmann berasakan rekod kemenangan 100 peratus Bayern Munich di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tidak berbaloi selepas mereka diundi untuk berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan 16.

Pasukan bimbingannya itu memenangi kesemua enam perlawanan pusingan awal untuk menjuarai Kumpulan C, termasuk menumbangkan Inter Milan dan Barcelona sebanyak dua kali, sekali gus menjadi pasukan pertama dalam sejarah UCL merekodkan kemenangan 100 peratus dalam saingan peringkat kumpulan bagi dua musim berturut-turut.

Di sebalik kejayaan itu, Bayern, dalam majlis undian malam tadi, dijadualkan untuk bertemu PSG -- yang diperkasakan dengan barisan bintang seperti Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe -- bagi penentuan ke suku akhir.

Nagelsmann percaya pasukannya tidak mendapat faedah daripada kecemerlangan mereka di peringkat kumpulan dengan berkata kepada wartawan: "PSG lawan yang sukar.

"Kesempurnaan kami di peringkat kumpulan tidak mendapat faedah sewaktu undian -- mereka memiliki ramai pemain berkelas dunia, sama seperti kami.

"Tetapi ini adalah UCL, jadi adalah normal untuk tiada lawan mudah dalam pusingan 16," katanya.