Thomas Muller berkata penyingkiran Bayern Munich daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di tangan Villarreal awal pagi tadi merupakan sesuatu yang sukar untuk diterima.

Pendahulu Bundesliga itu disingkirkan di peringkat suku akhir apabila jaringan lewat permainan Samuel Chukwueze mengikat kedudukan 1-1 buat Villarreal di Allianz Arena, sekali gus memberikan kemenangan agregat 2-1 buat penyandang juara Liga Europa itu.

Pasukan bimbingan Julian Nagelsmann berkenaan, yang tewas 0-1 dalam perlawanan pertama, menguasai hampir keseluruhan permainan dan kelihatan akan memperoleh kemenangan kesembilan daripada 11 penentuan suku akhir UCL.

Bagaimanapun, walaupun Robert Lewandowski menyamakan kedudukan agregat pada awal babak kedua, Bayern tidak mampu untuk memanfaat penguasaan mereka, di mana hanya satu daripada 23 percubaan yang dilakukan menghasilkan gol.

Dan pasukan gergasi Bavaria itu dikejutkan pada dua minit terakhir apabila Chukwueze menyempurnakan gerakan serangan balas Villarreal untuk meletakkan pasukan Yellow Submarine itu ke separuh akhir UCL buat kali pertama sejak 16 tahun lalu.

Bagi Muller, dia sedar Bayern hanya boleh menyalahkan diri mereka sendiri atas penyingkiran itu.

"Jika anda hanya mengambil kira perlawanan ini, tanpa perlawanan pertama, kami pasti akan layak dengan penuh meyakinkan," katanya kepada Amazon Prime.

"Amat sukar untuk menerimanya, saya tidak tahu apa untuk diperkatakan.

"Amat pahit untuk ditelan selepas prestasi seperti itu. Dengan penyokong di belakang kami, kami mencuba, mencuba dan mencuba sejak dari mula. Kami perlu melakukan dengan lebih baik di depan gawang," katanya.