Jurgen Klopp berkata Darwin Nunez masih sempat untuk cergas berdepan Real Madrid, awal pagi esok, selepas mengalami kecederaan dalam kemenangan Liverpool di Newcastle United, kelmarin.

Nunez merakamkan jaringan keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini ketika Liverpool melakar kemenangan 2-0 di St James' Park apabila dia menyempurnakan hantaran jauh Trent Alexander-Arnold untuk memulakan kemenangan mereka.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Uruguay itu terpaksa dikeluarkan selepas sejam permainan berikutan perlanggaran dengan Kieran Trippier.



Dia kelihatan menahan kesakitan sambil memegang bahu kanannya.

Ditanya mengenai prospek Nunez pulih untuk menentang Madrid dalam pertembungan peringkat 16 Liga Juara-Juara (UCL) itu, Klopp memberitahu wartawan: "Ada peluang.

"Kami perlu melihat bagaimana dia boleh menangani kesakitannya dan apabila kami dapat mengenal pastinya, barulah kami akan membuat keputusan."

Nunez telah menyumbangkan tujuh gol (lima gol, dua bantuan jaringan) sepanjang 13 kali dalam kesebelasan utama liga, malah dia tiga kali berjaya merobek gawang lawan di peringkat kumpulan UCL.