ATLETICO 2 LIVERPOOL 3

Jurgen Klopp menyifatkan tindakan Diego Simeone untuk tidak berjabat tangan dengannya selepas kemenangan 3-2 Liverpool ke atas 10 pemain Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi, sebagai tidak tenang.


Simeone meluru ke arah terowong pemain sebaik wisel penamat di Wanda Metropolitano itu selepas berang dengan beberapa keputusan berat sebelah pengadil terhadap barisan tuan rumah.

Penjaring dua gol Atleti, Antoine Griezmann, menerima padah dilayangkan kad merah berikutan mengangkat tinggi kakinya ketika di kedudukan 2-2 selain video bantuan pengadil (VAR) menafikan sepakan penalti mereka pada lewat permainan.

Walaupun tidak senang dengan tingkah laku rakan sejawatannya itu, pengurus Liverpool berkenaan memahami kekecewaan tersebut dalam perlawanan yang penuh drama di ibu negara Sepanyol terbabit.

"Kami tidak seronok tetapi situasinya adalah jelas," katanya kepada BT Sport.

"Saya ingin berjabat tangan dengannya. Reaksinya pasti seperti saya, tidak begitu seronok.

"Lain kali kalau kami berjumpa lagi, kami pasti akan bersalaman. Dia jelas berang, bukan terhadap saya tetapi dengan perlawanan. Tidak ada sebab yang lain."




Griezmann menyumbat gol keenamnya untuk Atleti bagi memadamkan kelebihan awal pelawat yang dihasilkan Mohamed Salah dan Naby Keita sebelum menerima kad merah itu.

Dia yang cuba mengawal bola sebaliknya menerjah muka Roberto Firmino -- sekali gus menjadi pemain pertama yang menjaringkan dua gol kemudian dibuang padang.

Salah meledak gol kedua buat The Reds menerusi sepakan penalti untuk meletakkan mereka di depan, tetapi lebih banyak drama menyusul apabila Diogo Jota mengasari Jose Gimenez di dalam kotak penalti.

Daniel Siebert pada mulanya menghadiahkan sepakan penalti itu sebelum menarik semula keputusannya.

Walaupun pemain Atleti jelas tidak berpuas hati dengan tindak tanduk pengadil itu, Klopp sebaliknya yakin pegawai perlawanan telah bertindak tepat.

"Saya melihatnya dan sepakan penalti yang diberikan kepada kami memang tepat. Saya rasa untuk Atletico pula bukan penalti tetapi saya tidak sangka ia akan dibatalkan," kata Klopp.

"Saya rasa ia adalah satu keputusan yang tepat. Kad merah pasti tidak bernasib baik tetapi ia memang patut. Kaki menerjah ke muka. Ia boleh berlaku."