Mohamed Salah teruja prospek berdepan Real Madrid selepas mereka disahkan sebagai pencabar Liverpool dalam penentuan trofi Liga Juara-Juara (UCL).

Selepas kemenangan dramatik The Reds ke atas Villarreal untuk mara ke perlawanan akhir di Paris, 29 Mei depan, aura Madrid selaku raja Eropah diserlahkan apabila menjaringkan dua gol pada masa kecederaan dan gol ketiga pula diledak dalam masa tambahan untuk menyingkirkan Manchester City, semalam.

Pemain berusia 29 tahun itu memberi reaksinya di Twitter selepas kemenangan Madrid dengan mengesahkan bahawa dia dan Liverpool mempunyai hutang untuk dilunaskan.




Dia mendedahkan semua orang di Liverpool mahu menghadapi Los Blancos lebih daripada musuh ketat Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Stade de France kelak.

"Jika anda bertanya kepada semua orang (di Liverpool), semua orang mendambakan pertemuan ini," katanya kepada Sky Sports.

"Saya tidak tahu mengapa kami tidak dibenarkan bercakap mengenainya tetapi biar saya bercakap mengenainya -- saya mengharapkan pertemuan ini. Malah, saya sebenarnya memasang harapan mahu bertemu Real Madrid sebelum menentang Manchester City lagi.

"Sudah tentu, saya tidak perlu terlalu memuji mereka. Mereka adalah sebuah pasukan yang sukar dipercayai dengan pengurus dan pemain yang hebat.

"Apabila mereka bertanya kepada saya siapa yang saya mahukan, saya katakan Madrid. Ia adalah jawapan yang mudah."