Chelsea mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali pertama sejak tujuh tahun selepas Hakim Ziyech dan Emerson Palmieri meledakkan gol ketika menewaskan Atletico Madrid 2-0 awal pagi tadi.

The Blues menuju ke perlawanan itu dengan menyedari bahawa mereka tidak pernah disingkirkan dalam pusingan kalah mati peringkat Eropah selepas memenangi perlawanan pertama di tempat lawan dan Ziyech menambah jaringan Oliver Giroud dalam perlawaan sebelumnya dengan penyudah tenang pada minit ke-34.

Ia merupakan gol pertama Ziyech di Stamford Bridge sejak menyertai Chelsea tetapi keraian itu dikongsikan bersama kesemua pemain pasukan tuan rumah itu yang beraksi cemerlang dalam perlawanan berkenaan.

Atletico kemudian beraksi dengan 10 pemain selepas Stefan Savic dibuang padang sebelum Emerson menutup aksi cemerlang pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan satu lagi gol dalam waktu kecederaan.

Kemenangan 3-0 secara agregat itu sudah pasti menggembirakan pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, yang pasukannya tidak pernah tewas sepanjang 13 perlawanan dalam kesemua kejohanan sejak dia mengambil alih, di mana mereka menyingkirkan pendahulu LaLiga itu tanpa diberikan sebarang ancaman.

Renan Lodi menguji Edouard Mendy dengan lambungannya pada minit ke-4 tetapi penjaga gol itu mudah menafikan percubaan pertama Atletico.

Pada pertengahan babak pertama, Tannick Carrasco dijatuhkan dalam kawasan penalti selepas bersentuhan dengan lengan Cesar Azpilicueta tetapi tiada sepakan penalti diberikan.

Chelsea menggandakan kelebihan agregat mereka menerusi serangan balas pantas, Timo Werner meluru ke arah kawasan penalti sebelum melakukan lorongan ke arah Ziyech, yang menyepak leret untuk menewaskan Jan Oblak.

Oblak kemudian bertindak tangkas untuk menghalang Werner daripada menambahkan kelebihan Chelsea pada awal babak kedua sementara Reece James melakukan rembatan kencang yang terpaksa ditepis keluar penjaga gol Atletico itu pada minit ke-56.

Werner kemudian melakukan satu lagi percubaan yang terkena palang selepas sejam perlawanan tetapi Atletico gagal memanfaatkan kegagalan itu dengan percubaan jarak dekat Joao Felix mudah diselamatkan Mendy.

Savic kemudian dilayangkan kad merah selepas menyiku Antonio Rudiger dan Chelsea menabur garam di luka Atletico apabila Emerson menjaringkan gol menerusi sentuhan tunggalnya dalam perlawanan itu.