Karim Benzema akan memulakan pertemuan pertama di antara Real Madrid dan Liverpool, kata Carlo Ancelotti yang turut menyokong Vinicius Junior untuk sekali lagi menyinar ketika mereka berdepan dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

Madrid merehatkan Benzema dalam kemenangan 2-0 di Osasuna, hujung minggu lalu, dan Ancelotti berhasrat menguruskan minit permainan anak buahnya itu dengan baik selepas penyerang tersebut ditimpa kecederaan selama beberapa bulan.

Ancelotti berkata pemenang Ballon d'Or 2022 itu tidak akan berdepan Liverpool sekiranya perlawanan pertama pusingan 16 itu berlangsung hujung minggu lalu, secara tidak langsung menimbulkan keraguan terhadap kelibatnya.

Bagaimanapun, Benzema -- yang mengumpul jaringan terbanyak dengan 15 gol dalam 12 penampilan UCL musim lalu -- disahkan cergas untuk diturunkan dalam kesebelasan utama di Merseyside.

Ditanya mengenai kelibat Benzema dalam sidang media pra-perlawanan, Ancelotti berkata: "Benzema kelihatan baik, esok dia akan bermula."

Benzema mengintai untuk menamatkan kemarau gol dalam lima perlawanan UCL apabila gagal melakar sebarang gol sepanjang 324 minit sejak menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir kedua menentang Manchester City, Mei lalu.




Madrid turut tempang tanpa pemain tengah, Toni Kroos dan Aurelien Tchouameni, dalam kunjungan ke Anfield tetapi Ancelotti menyeru anak buahnya yang lain termasuk Luka Modric agar meningkatkan prestasinya.

"Saya ingin memilikinya," katanya mengenai gandingan pemain tengah itu.

"Ia adalah satu rombakan yang bukan kami hajati. Ia tidak membimbangkan saya kerana naluri saya berasa baik.

“Mereka yang menggantikan Toni dan Tchouameni telah melakukan yang terbaik dan kami mempunyai keyakinan terhadap keseluruhan skuad.

"Modric tidak mempunyai tempoh yang bagus sepanjang bulan lalu tetapi kini dia kembali ke tahap terbaiknya dan dia akan terus berkembang.

:Keadaannya baik dan dia masih mahu bermain untuk Madrid."