Wira dua gol Real Madrid, Rodrygo, meraikannya dengan gaya seperti Cristiano Ronaldo selepas memadamkan harapan Chelsea dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Penyerang dari Brazil itu kemudian mendedahkan dia melakukannya demi mengelak kecederaan dan terinspirasi dengan pemain berkenaan.

Dua gol daripada Rodrygo memberikan kemenangan 2-0 kepada Madrid di Stamford Bridge untuk membawa pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu mara ke separuh akhir.

Pemain Santos berusia 22 tahun tersebut mencatatkan 15 gol dalam 37 perlawanan kancah itu, yang mana hanya 19 penampilan sebagai tonggak utama.

Sebaik membuka tirai jaringan, Rodrygo melakukan sambutan gol itu dengan gaya 'siu', sekali gus membangkitkan memori indah bersama penjaring rekod sepanjang zaman Madrid terbabit,



Dia kemudian menyatakan ia dilakukan demi mengelakkan kecederaan lutut yang lebih teruk selain satu tindakan spontan sebagai penghormatan kepada peneraju 140 gol UCL tersebut.

Rodrygo memberitahu Movistar: "Mula-mula saya terfikir untuk menggelongsor tetapi lutut saya mengalami keradangan dan idola saya, Cristiano, kemudian terlintas di fikiran saya dan saya melakukannya dengan serta-merta."

Dia menambah: "Saya berharap untuk terus kekalkan prestasi seperti ini, menjaringkan lebih banyak gol dan mencipta bantuan jaringan selain mengumpul lebih banyak lagi trofi UCL."