Sergio Busquets mengakui bahawa Barcelona sedang menghadapi ujian sukar untuk mempertahankan mahkota LaLiga selepas terikat 2-2 dengan Atletico Madrid awal pagi tadi.

Lionel Messi merekodkan golnya yang ke-700 tetapi masih belum cukup untuk membantu Barca meraih tiga mata di Camp Nou, di mana Saul Niguez menjaringkan dua gol daripada sepakan penalti untuk Atletico mencuri satu mata berharga.

Keputusan seri itu bermakna Barcelona ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Real Madrid, yang akan berkelebihan empat mata sekiranya menewaskan Getafe awal pagi esok.

Masih terdapat lima perlawanan buat Barca untuk mengubah keadaan itu tetapi pemain tengah, Busquets, sedar bahawa nasib kini bukan lagi di tangan mereka.

"Baik, untuk mempertahankan gelaran benar-benar rumit jika anda keciciran dua mata dalam dua perlawanan tetapi kami akan terus berjuang hingga ke penghujungnya," kata pemain kebangsaan Sepanyol itu kepada Movistar.

"Kami sedar ia sukar tetapi kami akan mencuba. Mereka lawan yang sukar. Kami mendominasi dan mencipta peluang tetapi dua sepakan penalti itu menghukum kami -- ia amat merugikan.

"Keciciran mata hari ini dan hujung minggu lalu bermakna kami semakin jauh untuk mencapai sasaran kami, iaitu untuk mempertahankan kejuaraan.

"Saya fikir kami sudah bermain dengan baik hari ini tetapi tugas sukar menanti kami," katanya.

Gol sendiri Diego Costa, yang berpunca daripada sepakan sudut Messi, meletakkan Barca di depan sebelum Saul menyamakan kedudukan dari jarak 12 ela -- gol itu hadir selepas sepakan penalti pertama Costa diselamatkan Marc-Andre ter Stegen tetapi video bantuan pengadil (VAR) mengesan penjaga gol itu telah melintasi garisan gol lebih awal.

Messi melambung masuk gol sepakan penalti bersejarahnya selepas waktu rehat, hanya untuk Saul kembali mengikat kedudukan menerusi satu lagi sepakan penalti.