Thomas Tuchel menyesal tidak mengeluarkan Mateo Kovacic lebih awal ketika Chelsea menewaskan Lille dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi tetapi berharap pemain tengah itu dan Hakim Ziyech akan sempat pulih sebelum final Piala Liga Inggeris (EFL).

Kovacic mengalami kecederaan dalam babak kedua ketika The Blues menang 2-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 di Stamford Bridge, di mana Ruben Loftus-Cheek menggantikannya pada minit ke-51.

Ziyech juga kelihatan terhincut-hincut ketika dikeluarkan sebelum sejam permainan kerana masalah buku lali, sekali gus mencetuskan tanda tanya adakah kedua-dua pemain itu dapat diturunkan dalam perlawanan final Piala EFL menentang Liverpool awal pagi Isnin ini.

Chelsea memperoleh jaringan awal menerusi sentuhan Kai Havertz pada minit kelapan dan menambah kelebihan itu hasil jaringan Christian Pulisic pada minit ke-63 untuk melakar sejarah selaku pasukan Inggeris pertama memenangi lima perlawanan berturut-turut di tempat sendiri dalam kejohanan kelab elit Eropah berkenaan.

Bagaimanapun, Tuchel kecewa dengan keputusannya membiarkan Kovacic lebih lama di atas padang sehingga mengalami kecederaan.

"Saya sepatutnya mengeluarkan Kova lebih awal dalam babak pertama, jadi kami dapat menjimatkan satu pertukaran. Saya belum lihat kecederaan Hakim dan belum bercakap dengan doktor. Harap-harap ia tidak terlalu buruk," kata Tuchel kepada BT Sport.

"Ia menjadi seakan-akan kisah musim ini, di mana dalam setiap perlawanan, kami melakukan pertukaran kerana kecederaan dan bukannya kerana taktikal. Ia menghantui kami.

"Perlawanan hujung minggu ini agak baik kerana kami mempunyai beberapa hari untuk memulihkan diri dan bersedia. Secara amnya, kami tidak gemar berdepan terlalu banyak kecederaan dan mahu melakukan impak daripada bangku pemain simpanan atas sebab taktikal.

"Saya harap kedua-dua pemain ini sempat cergas untuk perlawanan hujung minggu ini," katanya.