Thomas Tuchel mengulangi komitmennya bersama Borussia Dortmund selepas membimbing pasukan itu menjulang Piala Jerman atau DFB-Pokal pertama dalam tempoh lima tahun.

Walaupun cemerlang menamatkan kempen Bundesliga yang menyaksikan Dortmund berada dalam kelompok kelayakan Liga Juara-Juara, keraguan mengenai masa depan Tuchel di Signal Iduna Park berterusan selepas dilaporkan berlaku perselisihan dengan pengurusan kelab.

Bagaimanapun, setelah melihat pasukannya mengatasi Eintracht Frankfurt 2-1 di Olympiastadion di Berlin, awal pagi tadi, Tuchel mendakwa dia tidak mempunyai keinginan untuk meninggalkan pasukan.

"Ya!," respons Tuchel apabila ditanya sama ada dia mahu kekal sebagai jurulatih Dortmund oleh Sky Sports. "Saya tidak tahu, (jika ini adalah perlawanan terakhir bersama Dortmund)."

Kemenangan Dortmund ini menandakan trofi sulung Tuchel dalam kerjaya kejurulatihan di peringkat senior.

Ia tidak datang mudah, bagaimanapun, dengan gol awal Ousmane Dembele yang pantas disamakan oleh jaringan Ante Rebic sebelum rembatan Haris Seferovic menggegarkan palang.

Dortmund mengekalkan prestasi baik dan selepas rehat mereka hampir meraih gol menerusi percubaan akrobatik daripada Pierre-Emerick Aubameyang yang terkena palang.

Aubameyang menjaringkan gol beberapa minit kemudian menerusi sepakan penalti selepas pemain gantian, Christian Pulisic, dijatuhkan oleh penjaga gol Frankfurt, Lukas Hradecky.

Ada lagi drama selepas itu apabila percubaan Aubameyang sekali lagi terkena palang sebelum Sokratis Papastathopoulos hampir menjaringkan gol sendiri.

Selepas kejayaan itu, Tuchel berkata: "Saya benar-benar kosong. Selepas separuh akhir saya penuh (tenaga) tetapi sekarang saya benar-benar kosong. Ia adalah kerja keras.

"Selepas kami menjaringkan gol, kami berhenti bermain bola sepak dan kemudian kami bernasib baik kerana tidak ketinggalan.

"Tetapi tiada siapa yang bercakap mengenainya lagi, kerana kami telah menang. Kini segala-galanya adalah sempurna."

Tuchel juga berkata bahawa sepakan penalti yang diambil Aubameyang dengan gaya sedikit lambung adalah dirancang di mana penjaring terbanyak Bundesliga itu berlatih sebelum final.

"Saya boleh katakan bahawa ia adalah satu perkara yang pasti," tambah Tuchel. "Kami lebih awal menganalisis penalti yang diselamatkan Hradecky.

"Dia melayangkan badan ke penjuru. Akhirnya ia adalah sepakan yang selamat kerana kami telah berbincang mengenainya."