CLUB AMERICA 1 CHELSEA 2

Thomas Tuchel memberi isyarat pada masa depan Chelsea mungkin mengelak daripada menandatangani pemain yang tidak mendapatkan vaksin COVID-19.


Ia selepas N'Golo Kante dan Ruben Loftus-Cheek terlepas jelajah The Blues di Amerika Syarikat (AS) berikutan tidak divaksinasi untuk menjalani persiapan pra-musim bersama pasukan remaja di London.

Bercakap dalam sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan Chelsea menentang kelab Mexico, Club America, Tuchel ditanya sama ada dia akan mengambil kira status suntikan itu apabila ia melibatkan tonggak baru.

"Ya, ia perlu menjadi salah satu faktor," katanya.

"Saya sedar beberapa pemain yang saya juga tidak ambil vaksin. Saya perlu maklumkannya juga tetapi ya, ia adalah sebahagian daripada kehidupan harian.

"Kami tidak boleh memaksa (pemain untuk mendapatkan vaksin). Pada masa ini ia adalah satu keputusan yang sangat normal untuk mendapatkan vaksin. Kedua-dua pemain mengambil keputusan untuk tidak melakukannya. Kami perlu mematuhi peraturan yang menjadi punca mereka tidak dapat menyertai kami. Mereka sedar tentang akibatnya.

"Kami tidak menggemarinya. Sudah tentu tidak. Kami ingin mereka berada di sini dan ia bukan penyelesaian yang ideal. Jauh daripada ideal tetapi apabila keadaan seperti ini berlaku, anda perlu mencari penyelesaian.

"Mereka berlatih dengan pasukan B-23. Kemudian mereka menyertai pasukan B-19, tetapi ia tidak akan memberi banyak manfaat. Ia tidak akan sama seperti ketika berlatih bersama pasukan utama."




Jaguh Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Club America hasil jaringan Timo Werner dan Mason Mount selain jaringan sendiri Reece James.

Selepas kemenangan itu, Tuchel ditanya oleh wartawan mengenai ketibaan Kalidou Koulibaly yang sah dibeli Chelsea daripada Napoli dengan bayaran yang dilaporkan £33.8 juta (RM178.2j.

“Dia menawarkan pengalaman, kualiti bertahan terbaik, ketinggian, segala-galanya yang kami cari untuk mengetengahkan barisan tiga bek berbanding empat,” katanya mengenai pertahanan tengah barunya itu.

"Ia adalah satu pembelian yang mantap, seorang lagi pemain handalan buat kami dan kami berharap dia dapat mempamerkan kualitinya secepat mungkin. Dia kini berlatih di luar sebaik tiba semalam dan kami sangat gembira.

"Dia mengenali beberapa pemain -- dia beraksi di samping (Edouard Mendy) dalam pasukan kebangsaan dan mengenali (Jorginho) di Napoli -- jadi dia akan segera dialu-alukan dalam kumpulan. Kami mempunyai kumpulan yang bagus dan semua orang gembira dia sudah bergabung bersama kami."