Setelah sekian lama menanti, Piala Dunia 2022 akhirnya dimulakan secara rasmi di bumi Qatar, dengan Stadium Al Bayt sebagai pentasnya.

Stadium itu diilhamkan daripada bentuk khemah Badwi, sebuah bangunan gergasi yang tersergam megah di tengah-tengah padang pasir yang luas terbentang.

Menakjubkan binaannya, gilang-gemilang acara pembukaannya, gemuruh sambutan daripada penyokongnya, tetapi tidak pada persembahan pasukan tuan rumahnya.

Bermula dari sorotan kamera terhadap pemain-pemain yang sedang bersiap-sedia untuk melangkah ke padang, perbezaan emosi yang dipamerkan kelihatan cukup berbeza di antara tuan rumah dan lawan mereka, Ecuador.

Pemain Qatar nyata gagal membendung rasa gugup, mundar-mandir tanpa henti dan seolah-olah tidak sabar hendak bermula bagi mengakhiri keresahan yang dialami.

Berbeza sekali dengan pasukan Ecuador yang langsung tidak menunjukkan sebarang emosi pada riak wajah mereka, hanya fokus dan serius terhadap tanggungjawab yang bakal dipikul.

Hanya tiga minit selepas wisel permulaan ditiupkan, Ecuador memenangi sepakan percuma yang pantas dilambungkan ke arah pintu gol Qatar.

Penjaga gol, Saad Al Sheeb, meluru keluar untuk menampan bola, namun sama sekali tidak menemui sasaran dan bergelut untuk memperbetulkan semula posisi bertahan.

Tempoh yang singkat itu digunakan sebaik-baiknya oleh pemain Ecuador, Felix Torres untuk melakukan hantaran menerusi kaedah sepakan gunting ke arah kapten pasukan, Enner Valencia, yang mudah menanduk masuk ke dalam gawang yang tidak berpenghuni.

Ecuador bersorak gembira, pasukan tuan rumah terdiam terpaku, namun secara tiba-tiba sistem VAR muncul untuk menjadi penyelamat.




Menurut laporan akhbar Daily Mail, sistem VAR dalam kejohanan kali ini akan diperkasakan lagi oleh kecerdasan buatan serta penderia yang dipasang di dalam bola bagi menentukan keputusan paling tepat yang patut diambil.

Jika benar seperti yang dikhabarkan, ia sungguh menghairankan mengapa gol Ecuador itu dibatalkan gara-gara ofsaid sedangkan pandangan dari sudut mana sekalipun tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa keputusan tersebut patut diambil.

Pemain yang ofsaid bukanlah Torres yang menghantar bola, mahupun Valencia yang menanduk masuk, tetapi Michael Estrada, pemain yang menghalang Saad Al Sheeb daripada menampan bola dari awal lagi.

Ia merupakan keputusan yang cukup kontroversi dan pastinya bakal diperhatikan lebih lanjut dalam kesemua perlawanan yang akan datang.




Biarpun gol itu dibatalkan, Ecuador tidak perlu menunggu lama untuk sekali lagi membolosi gawang Qatar.

Pada minit ke-15, Valencia menerpa masuk ke kawasan penalti, menyebabkan Saad Al Sheeb kelam-kabut cuba merampas bola dari kakinya. Bola gagal dirampas, kaki Valencia pula yang disambar -- sepakan penalti.

Valencia dengan tenang meleretkan bola ke arah kanan gawang, manakala Saad Al Sheeb melompat ke arah bertentangan -- akhirnya gol pertama yang sah buat Ecuador.

Selang 15 minit, Valencia sekali lagi tampil untuk menghantui Qatar menerusi tandukan padu hasil hantaran silang pemain bek kanan, Angelo Preciado.

Kali ini tiada kesilapan daripada Saad Al Sheeb kerana tandukan tersebut sememangnya tidak dapat diselamatkan.

Agak malang buat Valencia, dia mengalami kecederaan hamstring tidak lama kemudian, namun masih cekal bertahan demi cuba mendapatkan jaringan hatrik. Sayang sekali, pada separuh masa kedua, lututnya pula turut cedera dan memaksa dia ditukar akhirnya.

Sepanjang 90 minit, sesuatu yang teramat nyata adalah betapa jauhnya perbezaan kualiti di antara Ecuador dan Qatar, sehinggakan artikel akhbar The Guardian melabelkan Qatar sebagai 'persembahan paling teruk pasukan tuan rumah dalam sejarah Piala Dunia'.

Kita nantikan mampukah Qatar bangkit semula dalam perlawanan seterusnya.