Penyerang Liverpool, Darwin Nunez, merupakan mesin gol dan akan terus meningkat sebaik keyakinannya memuncak, menurut rakan sepasukannya, Kostas Tsimikas.

Nunez menjaringkan gol keduanya dalam dua permulaan Liga Perdana Inggeris (EPL) terakhirnya untuk membantu kemenangan 1-0 Liverpool ke atas West Ham semalam, satu keputusan yang menyaksikan anak buah Jurgen Klopp itu ketinggalan empat mata dalam pendakian ke kedudukan empat teratas.

Penyerang Uruguay itu dikritik hebat berikutan permulaan perlahannya sejak dibeli daripada Benfica, tetapi dia kini telah menyumbat lima gol buat The Reds setakat ini.

Ditanya mengenai kualiti Nunez, Tsimikas berkata: "Dia sentiasa ada. Dia berkemampuan untuk menjaringkan gol dengan kaki kiri, kanan dan kepala -- dia adalah sebuah mesin gol.

"Dia memerlukan keyakinan, ia akan menyusul dan semoga dia dapat menemui prestasi terbaik untuknya menjaringkan lebih banyak gol bagi membantu pasukan, untuk memberikan kami lebih banyak kemenangan. Bagi kami, dia adalah pemain yang sangat, sangat penting."



Tsimikas -- yang menjadi arkitek hantaran tepat dari sayap kaki untuk ditanduk Nunez -- kini telah mencipta lima bantuan jaringan musim ini.

Lantas, pemain antarabangsa Greece itu amat gembira apabila mencipta jaringan buat Nunez, sambil menambah: "Ia adalah detik yang sangat baik buat saya. Lebih-lebih lagi ia adalah hantaran silang untuk Darwin memandangkan saya mahu membantunya."

Tambahnya di laman sesawang rasmi kelab: "Diharapkan dia mengekalkan dapat tenaga dan golnya untuk perlawanan seterusnya.

"Saya sangat, sangat gembira mengenai perkembangan ini. Setiap hari, saya gigih membuatkan hantaran silang menjadi lebih baik agar saya dapat menghasilkan persembahan yang lebih baik.

"Oleh itu, saya sangat gembira."