Menjelang aksi pembuka tirai Liga super 2022 menentang pasukan berstatus bintang, Johor Darul Ta'zim (JDT), ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha, mempunyai perancangan tersendiri untuk menjerat juara Liga Super lapan musim berturut-turut itu esok.

Malah pengendali yang membawa Penang FC muncul pasukan ketiga terbaik musim lalu itu memulakan perang psikologi dengan melabel tekanan lebih terarah kepada skuad kendalian Benjamin Mora selaku pasukan pilihan -- sambil berkongsi ancaman utama Harimau Selatan.

Kunjungan Penang FC ke Stadium Sultan Ibrahim kali ini tanpa kudrat dua pemain utama, Cassagrande serta Endrick dos Santos yang digantung perlawanan ekoran insiden pergaduhan di Kuala Terengganu dalam saingan empat penjuru yang lalu.

Atas faktor itu, Trucha sudah ada ramuan untuk menghadirkan cabaran terhadap JDT -- selain mempertaruhkan Hilal El-Helwe di jentera serangan, namun kekal berahsia posisi perancang utama berdepan JDT.