Barcelona sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Roma selepas kelab Itali itu mengumumkan mereka tidak akan mengambil bahagian dalam Trofi Joan Gamper.

Kedua-dua kelab itu dijadualkan bertemu di Camp Nou pada 6 Ogos depan termasuk pasukan wanita masing-masing dalam perlawanan yang bertindak sebagai pembuka tirai tahunan sempena musim Barca.

Bagaimanapun, hanya 12 hari selepas perlawanan persahabatan itu diumumkan, Roma pada malam tadi mengesahkan bahawa mereka mahu menarik diri daripada perlawanan berkenaan.

Roma dalam satu kenyataan berkata keputusan itu diambil hasil daripada penyusunan semula pendekatan pra-musim mereka untuk disesuaikan dengan kedua-dua pasukan lelaki dan wanita.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan tidak lama selepas itu, Barcelona mengecam juara Liga Persidangan Europa tersebut yang diuruskan oleh bekas jurulatih mereka, Jose Mourinho.

"Roma telah memutuskan untuk menarik diri daripada kontrak yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak untuk Trofi Joan Gamper," kata kenyataan itu.




"Kelab sedang mencari lawan baru untuk edisi tahun ini. Dalam tempoh 24 jam akan datang pemulangan wang tiket yang telah dibeli akan bermula.

“Pihak kelab ingin menjelaskan bahawa pembatalan perlawanan ini di luar kawalan FC Barcelona, ia merupakan ​​hasrat AS Roma.

"Jabatan undang-undang kelab sedang mengkaji kemungkinan untuk mengambil tindakan ke atas kelab Itali itu kerana memudaratkan Barcelona dan peminatnya akibat keputusan yang tidak dijangka dan tidak wajar seperti ini."

Barcelona turut dijadualkan menentang UE Olot, Inter Miami, Real Madrid, Juventus, New York Red Bulls dan Manchester City menjelang permulaan musim LaLiga 2022-23.