Khidmat pemain tengah Tottenham, Rodrigo Bentancur, untuk baki musim ini perlu dilupakan selepas mengalami kecederaan ligamen lutut.

Pemain antarabangsa Uruguay itu membuka jaringan buat kelab London berkenaan dalam kekalahan 1-4 kepada Leicester City dalam perhitungan Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu, sebelum kelihatan terhincut-hincut.

Bentancur bertembung dengan rakan seposisinya di Leicester, Nampalys Mendy, sejurus sejam permainan malah memerlukan bantuan oksigen di atas padang.

Tottenham kemudian mengesahkan di laman sesawang rasmi mereka bahawa pemain berusia 25 tahun itu mengalami koyakan di 'ligamen anterior cruciate' (ACL) lutut kirinya dan tidak akan beraksi lagi untuk sisa kempen ini.

Justeru, tonggak kelahiran Uruguay itu akan menjalani pembedahan sebelum memulakan pemulihannya.





Bentancur telah beraksi dalam 26 daripada 32 perlawanan musim ini ketika membentuk gandingan tengah bersama Pierre-Emile Hojbjerg.

Dalam masa sama, rakan senegaranya, Yves Bissouma, perlu berehat untuk tempoh panjang selepas menjalani pembedahan buku lali minggu lalu.

Ketua pasukan, Hugo Lloris, turut diketepikan selama dua bulan, manakala Hojbjerg digantung untuk perlawanan pertama peringkat 16 UCL di Milan, awal pagi esok.