Penyerang Tottenham, Harry Kane, akan dinilai dan berpotensi diturunkan untuk aksi lebih awal menentang Burnley esok, kata Mauricio Pochettino.

Ketua pasukan England itu tersisih sejak dilanda masalah pergelangan kaki ketika menghadapi Manchester United bulan lalu, namun dia kembali menjalani latihan penuh minggu ini.

Justeru, pengurus Spurs, Pochettino, yang menghadapi sidang media semalam, belum dapat mengesahkan adakah Kane sudah bersedia untuk menghadapi Burnley, namun penggempur itu dijangka akan menjalani ujian kecergasan pada saat-saat akhir.

Tottenham menghampiri tempoh penting musim ini untuk mengharungi lima perlawanan dalam masa dua minggu -- membabitkan pertembungan dengan Chelsea dan Arsenal selain pertemuan kedua dengan Borussia Dortmund sempena pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

"Dia dalam keadaan yang bagus," kata Pochettino dalam sidang media pra-perlawanan. "Kami perlu menilai situasinya selepas satu lagi sesi latihan (hari ini) sebelum membuat keputusan.

"Begitupun, dia dalam keadaan yang baik dan saya gembira dengannya. Mungkin dia akan menjadi sebahagian daripada skuad untuk aksi esok.

"Semua orang tahu bahawa Harry adalah seperti haiwan, dia mahu kembali beraksi secepat mungkin, dia melakukan segala-galanya untuk cuba pulih dengan kadar segera. Dengan kecederaan seperti yang dialaminya, ia bukan mudah.

"Begitupun, ada kemungkinan dia boleh kembali lebih awal. Dengan kecederaan yang ulangannya boleh menggugatnya, anda tidak boleh terlalu mendesaknya dan kami perlu berhati-hati.

"Kami sangat gembira kerana dalam tempoh 10 hari yang lalu, dia telah menjalani latihan dengan baik. Dia tampak sudah bersedia untuk mencipta impak besar."

Ditanya siapakah yang akan memutuskan kedudukan Kane, Pochettino menambah: "Saya tidak peduli adakah dia mahu bermain atau tidak. Individu yang akan membuat keputusan akhir kelak adalah saya sendiri dan kakitangan kejurulatihan.

"Kami akan berbincang dengan doktor, kakitangan perubatan, termasuk jabatan sains sukan.

"Sudah tentu 10 hari yang lalu jika anda bertanya kepada Harry, dia akan mengatakan sudah bersedia untuk bermain. Tetapi sayalah yang akan membuat keputusan sesudah mempertimbangkan segala risikonya."

Tottenham mengesahkan Dele Alli, yang mengalami kecederaan hamstring, akan meneruskan program pemulihannya.

Ben Davies turut kembali ke sesi latihan tetapi Danny Rose masih bergelut dengan masalah kesihatan.

Mengenai Alli, Pochettino menambah: "Dia dalam keadaan baik dan kami gembira dengan perkembangannya. Kecederaan otot yang menimpanya kali ini adalah berbeza. Dia berada dalam fasa terakhir pemulihannya, ini perkara paling penting dalam proses itu.

"Sukar untuk tahu (tarikh kepulangannya). Mungkin dalam tempoh seminggu, 10 hari atau dua minggu.

"Kita tengoklah nanti kerana kami yang menilainya setiap hari."