Son Heung-min percaya Tottenham telah menundukkan sebuah pasukan terbaik di dunia dalam kemenangan 1-0 ke atas Manchester City, awal pagi tadi.

Spurs menikmati kejayaan manis itu untuk membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan cemerlang biarpun diselubungi spekulasi masa depan penyerang, Harry Kane, yang diketepikan gara-gara baru kembali menjalani latihan.

Kane menjadi sasaran perpindahan City, namun Spurs membuktikan bahawa mereka tidak terkesan dengan khabar angin tersebut dengan menjelmakan persaingan hebat bertemu juara bertahan itu.

Sama seperti taktikal yang diterapkan di bawah kendalian Jose Mourinho musim lalu, Tottenham menggempur City menerusi serangan balas dan taktik itu membuahkan hasil pada awal separuh kedua apabila Son melengkapkan usaha kaki kirinya ke penjuru pintu gol selepas mengelirukan Ederson.

Buat kali ketiganya dalam sejarah EPL juara bertahan tewas pada hari pertama kempen dan kali terakhir Pep Guardiola mengalami nasib serupa ialah ketika tumbang kepada Numancia ketika mengendalikan Barcelona pada 2008-09.

Ia mencemarkan rekod cemerlang 11 perlawanan pembukaan berturut-turut Pep Guardiola -- memenangi kesemuanya sejak 2009-10.

"Jelas kami mahu bermula dengan baik dalam perlawanan pertama musim ini, akhirnya perlawanan pertama di depan peminat," katanya kepada Sky Sports.

"Ia satu persembahan yang luar biasa. Semua orang bekerja keras untuk mendapatkan tiga mata ini dan jelas sekali ketika ini Man City adalah pasukan terbaik di dunia, jadi ini sangat beerti buat kami dan untuk permulaan musim ini."




Perhatian segera beralih kepada Kane yang tidak diturunkan, malah peminat Spurs bersorak bertanyakan adakah ketua pasukan England itu ada menonton perlawanan berkenaan.

Son, bagaimanapun, enggan mendabik dada walaupun berjaya menampung ketiadaan gandingannya di bahagian serangan itu.

"Kami semua profesional, kami hanya mahu fokus kepada perlawanan. Tidak masalah mengenai siapa yang terlibat," tambahnya.

"Semua orang benar-benar fokus untuk perlawanan ini. Jelas, Harry sangat penting bagi kami tapi ayuh kita lihat kelak. Mari bersiap sedia untuk menghadapi musim ini."