Carlo Ancelotti kelihatan tidak tahu apabila ditanya mengenai laporan bahawa pemain pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger, akan menandatangani kontrak dengan Real Madrid.

Thomas Tuchel mendedahkan hujung minggu lalu bahawa Rudiger telah memaklumkan kepadanya tentang hasratnya untuk meninggalkan Stamford Bridge apabila kontraknya tamat pada penghujung musim.

Pemain antarabangsa Jerman itu dilaporkan akan memuktamadkan perjanjian untuk menyertai Madrid minggu ini.

Ditanya mengenai Rudiger oleh beIN SPORTS selepas kekalahan 4-3 Madrid pada separuh akhir Liga Juara-Juara kepada Manchester City awal pagi tadi, Ancelotti menjawab sambil tersenyum: "Toni? Siapa dia?

"Dia adalah pemain Chelsea sehingga... Dia masih pemain Chelsea dan saya tidak boleh mengatakan apa-apa tentang perkara ini."

Ancelotti menyerlahkan pertahanan Madrid sebagai faktor utama kekalahan mereka kepada City.

Kevin De Bruyne dan Gabriel Jesus menemui gol dalam masa 11 minit di Stadium Etihad -- tempoh paling awal Madrid dibolosi dua kali dalam satu perlawanan Liga Juara-Juara.

Karim Benzema membalas satu gol pada penampilannya yang ke-600 untuk kelab itu dan Vinicius Junior menemui gawang selepas Phil Foden menanduk masuk hantaran lintang Fernandinho pada separuh masa kedua.

Bernardo Silva memulihkan kelebihan dua gol City sebelum Benzema memberikan secebis harapan tambahan kepada Madrid dengan Panenka yang berani berikutan bola terkena tangan Aymeric Laporte.