Pemain tengah UKM FC, Nam Se-in, masih belum puas walaupun bergelar penjaring terbanyak pasukan selepas menghasilkan dua gol ketika berdepan Sabah dalam saingan Liga Perdana, Selasa lalu.

Se-in telah merekodkan empat gol dalam lapan perlawanan selain merupakan antara pemain import paling konsisten dalam pasukan.

Begitupun, itu masih belum memberi kepuasan kepadanya kerana setiap gol yang terhasil adalah menerusi hantaran pendek sahaja.

Disebabkan itu, dia mengimpikan gol lebih cantik dalam aksi seterusnya dengan MISC-MIFA di Selayang, petang esok.

"Dua gol yang dijaringkan sebelum ini adalah menerusi sentuhan penyudah dari jarak dekat. Buat masa ini, ancaman saya terhasil daripada hantaran silang dan percubaan jarak dekat.

"Saya merencana gol jarak jauh pula serta menyasarkan enam gol lagi.

"Ia bukan untuk saya tetapi demi pasukan," kata pemain kelahiran Korea Selatan itu.

Secara keseluruhan, UKM bergelut untuk memperbaiki kedudukan liga dengan menghuni tangga kedua tercorot.

Nyata, kemenangan 3-2 ke atas Sabah membuktikan peningkatan prestasi barisan pemain perlu diteruskan dalam usaha mengelak daripada terus tercicir ekoran tewas lima kali berturut-turut dalam liga.

"Ia kemenangan normal ke atas Sabah.

"Saya berasakan kami boleh melakukan lebih baik lagi dan kami mampu melaksanakannya," ujarnya lagi.