Bekas ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha, dilantik sebagai pengendali Kelantan United Football Club (KUFC) bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Pelantikan Trucha, 51, dari Republic Czhech itu diumumkan pengurusan KUFC hari ini.

Trucha ketika ditemui memaklumkan belum bertemu pemain pasukan itu tetapi tidak sabar memulakan latihan pertama pada 4 Januari ini.

"Saya akan bertemu pemain pada 1 Januari dan akan merancang taktikal atau strategi sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia," katanya selepas diumumkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih baru pasukan berkenaan.

Trucha turut memberi penghargaan kepada pengurusan KUFC kerana memberi kepercayaannya untuk mengendalikan pasukan itu.

Sementara itu, Presiden KUFC, Rozi Muhamad, berkata KUFC memperuntukkan perbelanjaan lebih besar untuk musim ini, sekurang-kurangnya RM400,000 sebulan termasuk pengurusan pasukan B-21.

Katanya, rombakan pemain dilakukan dengan meletakkan pemain muda berusia bawah 30 tahun.

"Rombakan besar-besaran dilakukan melibatkan 90 peratus muka baharu," tambahnya.

Tahun lalu, KUFC menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan kelima dan menunjukkan peningkatan prestasi sejak 2019.

Rozi mengakui Kelantan United dianggap pasukan ‘underdog’ tetapi mereka tetap berazam melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia.

Kredit: Sinar Harian