Skuad bola sepak Ivory Coast akan mengiringi Brazil ke suku akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas mengikat Jerman 1-1 di Stadium Miyagi hari ini.

Ivory Coast mengikat Brazil tanpa jaringan hujung minggu lalu, sekali gus hanya memerlukan keputusan seri ke atas Jerman dalam perlawanan terakhir Kumpulan D hari ini -- Jerman tewas 2-4 kepada Brazil dua hari sebelumnya.

Dan mereka terlebih dahulu membuka jaringan di Rifu apabila pertahanan Jerman, Benjamin Henrichs, terjaring gol ke gawang sendiri pada minit ke-69.

Jerman bangkit memberikan respons menerusi gol Eduard Lowen berselang empat minit tetapi gagal menemui gol kemenangan untuk akur sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga.

Sementara itu, aksi di Stadium Saitama pula menyaksikan Brazil gah ke suku akhir selaku juara kumpulan selepas menewaskan Arab Saudi 3-1.

Matheus Cunha menjaringkan gol awal buat Selecao pada minit ke-14 tetapi Abdulelah Al-Amri kembali mengikat kedudukan pada minit ke-27.

Aksi dalam babak kedua menyaksikan bintang Everton, Richarlison, menjadi wira Brazil dengan menjaringkan gol berganda, masing-masing pada minit ke-76 dan 91.