Skip to main content

Bola Sepak

Titik mula dominasi Manchester City di Eropah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

city-cover-pic.jpg
Trofi Liga Juara-Juara (UCL) yang akhirnya dijulang Manchester City di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul pada Ahad lalu menandakan bermulanya dominasi The Citizens bersama Pep Guardiola dalam saingan antara kelab di Eropah.

City sudah menemui formula terbaik untuk meruntuhkan tembok nasib malang yang sebelumnya kerap menjadi penghalang terhadap kegemilangan mereka dalam pertandingan di peringkat benua.

Kemenangan 1-0 ke atas Inter Milan itu memperlihatkan pemain-pemain berjersi biru langit City, disertai Guardiola, berlinangan air mata kegembiraan setelah menyempurnakan musim terbaik mereka sejak beberapa tahun kebelakangan.

Kejayaan menjuarai UCL itu umpama satu titik mula buat City yang terdahulu ternanti-nantikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak pengambilalihan kelab oleh Sheikh Mansour pada Ogos 2008.

Ringkasnya, seperti dirumuskan oleh agensi AFP, Guardiola dan The Citizens akhirnya memahami bagaimana caranya untuk menakluki Eropah.

Situasi serupa pernah dialami mereka ketika memenangi kejuaraan pertama EPL bersama Guardiola pada musim 2017-2018.

City, yang tidak menentang untuk melalui proses bersama Guardiola, memberikan sepenuh sokongan kepada pengurus itu di sebalik mereka menamatkan musim pertamanya pada edisi 2016-2017 tanpa sebarang trofi.

Bagaimanapun, setelah menjadi pasukan terbaik di England, City terserlah sebagai pasukan yang sukar ditumpaskan – mereka menjadi kuasa dominan yang baru dalam EPL selepas Manchester United pada era Sir Alex Ferguson.

Ini ditandai oleh lima kejuaraan liga dalam enam musim terakhir, termasuk kejuaraan berturut-turut dalam tiga musim kebelakangan.

Guardiola juga sudah menghantar isyarat kepada barisan pencabar City di Eropah musim depan, dengan dia tidak mahu diingati hanya sebagai pengurus pertama yang membantu The Citizens menjulang trofi UCL di Istanbul.

“Kami berasa amat lega untuk memiliki trofi ini akhinya. Namun, ada pasukan yang meraih kejuaraan ini tapi kemudiannya lenyap. Kami akan mengelakkan menjadi pasukan seperti itu,” katanya selepas final berkenaan.



City adalah pasukan Inggeris kedua untuk mencapai ‘treble’ selepas Manchester United pada 1999.

Malah, di Eropah, City adalah setaraf dengan kelab-kelab menakjubkan seperti Glasgow Celtic (1967), Ajax Amsterdam (1972), PSV Eindhoven (1988), Barcelona (2009 dan 2015), Inter (2010) dan Bayern Munich (2013 dan 2020).

Selepas meraih tiga kejuaraan pada akhir musim ini, Guardiola memiliki kesempatan untuk mengemudi City kepada tiga gelaran lagi atau enam kejuaraan pada separuh pertama musim 2023-2024 melalui Perisai Komuniti, Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab.

Bersama Guardiola, mereka telah tampil sebagai pasukan di tangga keempat dengan paling banyak trofi liga Inggeris dengan sembilan kali menjulangnya di belakang Manchester United (20), Liverpool (19) dan Arsenal (13).

Jika diambil kira kejuaraan pada era EPL saja, City berada di tempat kedua dengan bergelar juara tujuh kali di belakang United (13).

Sejak dikendalikan Guardiola, The Citizens sudah mengatasi Chelsea dan Arsenal, yang masing-masing telah menjuarainya lima dan tiga kali dalam era EPL.

“Kami perlu mengekalkan semua trofi ini musim depan. Segala-galanya akan dilupakan dalam satu atau dua bulan dan kami akan menyerang kembali,” kata penyerang City, Erling Haaland, yang telah menyumbat 52 gol daripada 53 perlawanan dalam musim pengenalannya bersama kelab itu.
 

Advertisement

Must Watch Video