Ketua jurulatih Brazil, Tite, memohon maaf kepada Mikel Arteta berhubung laporan bahawa dia akan mengambil alih tugas sebagai pengurus Arsenal selepas tamat Piala Dunia 2022.

Pengendali itu akan meninggalkan Selecao selepas kontraknya tamat selepas kejohanan di Qatar itu penghujung tahun ini.

Minggu lalu, terdapat laporan bahawa satu perbincangan sedang dilakukan untuk membawa Tite ke Stadium Emirates tetapi jurulatih berusia 60 tahun itu menafikan dakwaan berkenaan.

Tite menyifatkan laporan media itu sebagai satu penipuan dan menegaskan bahawa fokusnya ketika ini adalah untuk membimbing Brazil memperoleh kempen terbaik di negara Timur Tengah berkenaan.

"Berkenaan informasi yang diberikan, saya berasa sedih. Saya sedih kerana informasi yang diberikan kepada orang awam adalah satu penipuan. Informasi itu adalah satu penipuan," katanya dalam sidang media.

"Dan buat mereka yang saya wakili dan mereka yang mengenali saya, yakinlah kerana saya mempunyai moral, menghargai aktiviti profesional saya dan sedar tanggungjawab saya bersama skuad kebangsaan Brazil.

"Maaf Arsenal. Maaf Arteta. Ia bukan datang daripada kami. Ia tiada apa-apa. Sememangnya tiada apa-apa.

"Pada ketika berita palsu itu tersebar, dengan informasi yang tidak betul, ia membuatkan saya sedih.

"Pada saya, tiada sesiapa, termasuk saya atau Gilmar (Veloz, ejen Tite), boleh bercakap mengenainya," katanya.

Brazil akan berdepan Bolivia dalam pusingan kelayakan Piala Dunia malam esok, di mana kemenangan dalam perlawanan itu akan memastikan mereka menjuarai saingan kelayakan zon CONMEBOL.