Ketiadaan pertahanan kental, Abdoulaye Maiga, yang digantung satu perlawanan, tidak meresahkan pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor di Kuala Terengganu, malam esok.

“Kami bersedia dan telah membuat simulasi dalam sesi latihan tanpa Maiga. Malah, ada beberapa perlawanan sebelum ini yang kami beraksi tanpanya dan kami menang.

“Tidak dinafikan kami terasa kehilangannya, namun dalam bola sepak tiada istilah seorang pemain, apa yang penting adalah satu pasukan.

“Saya akan membuat keputusan sama ada menurunkan Hasbullah (Awang), Marzuki (Yusoff) atau (Wan Ahmad) Amirzafran untuk menggantikan tempat Maiga.

“Insya-Allah kami mampu memberi satu persefahaman yang lebih baik dan mempamerkan rentak yang berbeza berbanding aksi di Shah Alam.

“Namun, Selangor juga mungkin mempersembahkan permainan berlainan, jadi kami harus bersedia untuk itu,” ujar Rahmad.

Walaupun membawa bekalan satu gol berharga selepas tewas 2-1 pada aksi pertama, 1 Oktober lalu, Rahmad tidak mahu anak-anak buahnya ghairah mencari gol kerana menyedari Selangor berupaya mengecewakan pasukannya.

“Masalah kami adalah untuk beralih dari situasi bertahan kepada gerakan untuk melancarkan serangan. Itu yang saya usahakan ketika ini kerana pemain-pemain harus menggunakan kepantasan, terutama di bahagian sayap.

“Fokus kami bukan sahaja untuk mencari gol, malah kami perlu mengelak daripada dibolosi, atau tugas kami makin sukar. Maka, pemain-pemain harus mengimbangi 90 minit itu nanti.

“Perlawanan ini antara yang terbesar buat T-Team dan saya sering mengingatkan pasukan supaya tidak tertekan kerana kekuatan kami adalah ketika pemain-pemain menikmati sesuatu perlawanan.

“Perasaan itu yang harus ada dalam diri setiap pemain saya,” tambah ketua jurulatih berasal dari Indonesia itu.