Timo Werner mendedahkan bahawa dia lebih selesa bermain dalam sistem skuad kebangsaan Jerman berbanding Chelsea selepas Die Mannschaft menewaskan Israel 2-0 dalam perlawanan antarabangsa di Arena PreZero awal pagi tadi.

Terdapat pengaruh Chelsea dalam kemenangan Jerman itu, di mana Kai Havertz menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-36 sebelum Werner menggandakan kelebihan itu dalam waktu kecederaan separuh masa pertama.

Ia merupakan jaringan ke-22 Werner sepanjang 48 penampilan antarabangsa tetapi walaupun menjadi sebahagian besar daripada perancangan Chelsea, dia kurang berjaya di Stamford Bridge.

Werner telah menjaringkan tujuh gol daripada 28 penampilan di Chelsea musim ini dan berasakan ketua jurulatih Jerman, Hansi Flick, lebih bijak menggunakannya berbanding Thomas Tuchel.

"Saya seorang penyerang dan sentiasa mahu menjaringkan gol

"Beberapa perkara tidak berlaku seperti yang saya inginkan di Chelsea, jadi segala-galanya berjalan lebih baik bersama Hansi Flick di sini.

"Saya benar-benar menikmati permainan bola sepak tidak kira di mana saya pergi. Terdapat perbezaan gaya permainan bola sepak di Chelsea dan di sini.

"Mungkin cara dalam pasukan kebangsaan lebih sesuai dengan saya. Di sini, saya sentiasa memiliki peluang menjaringkan gol, saya boleh menjaringkan gol. Saya berasa amat selesa di sini," katanya.