Skip to main content

Bola Sepak

Tiada tuah Pochettino bersama Chelsea

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

chelsea-cover.jpg
Tempoh pengurus Chelsea terdahulu, Graham Potter, menemui penamatnya setelah kecundang di tangan Aston Villa pada bulan April musim lalu.

Selang hampir setengah tahun, biarpun kini di bawah kendalian pengurus baru, Mauricio Pochettino, yang berpengalaman luas, nasib mahupun kualiti Chelsea masih tidak banyak bezanya kerana mereka tumpas 1-0 di tangan pasukan yang sama.

Menariknya, nasib Chelsea ketika ini banyak kaitannya dengan angka tiga.

Menurut statistik The Daily Mail, tiga pengurus telah mengendalikan Chelsea sejak Potter dipecat, tiga mata ditagih tidak kesampaian, tiga kali kalah musim ini, juga tiga perlawanan berturut-turut tanpa sebarang jaringan dilakukan.

Setiap kekalahan seringkali diselitkan dengan peringatan bahawa pemilik kelab, Todd Boehly, telah melaburkan wang melebihi £1bilion (RM4.7 bilion) demi memperkuatkan pasukan, tetapi hasilnya langsung tidak kelihatan.

Diminta pendapatnya tentang keadaan Chelsea sekarang, Pochettino nyata kecewa dengan ketidakmatangan pemain-pemainnya dan menyeru agar mereka mendewasakan diri pada kadar segera.

Mana tidaknya, penyerang utama, Nicolas Jackson, kini bakal digantung satu perlawanan gara-gara mengumpul kad kuning kelima musim ini, walhal Pochettino dilaporkan sudah menegur dan memberi peringatan tentang sikap panas barannya sejak minggu lalu lagi.

Kekalahan mereka turut diburukkan lagi oleh kad merah yang dilayangkan kepada bek kanan, Malo Gusto, yang melakukan terjahan keras terhadap Lucas Digne dari Aston Villa.

Perlu diingatkan, Chelsea turut berhadapan krisis kecederaan melibatkan 12 pemain, antaranya Christopher Nkunku, Wesley Fofana, Marc Cucurella, serta pemain-pemain yang baru dibeli, Romeo Lavia dan Moses Caicedo, justeru kehilangan dua pemain lagi sememangnya tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan.

Melihatkan aksi semalam, barisan pemain Chelsea tidak boleh dikatakan tidak berbakat, sebaliknya ada waktunya mereka kelihatan cukup berbahaya.

Pemain yang berterusan dikritik sejak ketibaannya, Mykhailo Mudryk, serta Raheem Sterling melancarkan larian demi larian pantas di kedua-dua sayap dan berulang kali memeningkan pemain bek Aston Villa.

Penguasaan taktikal Pochettino membolehkan pemainnya mengenal pasti cara untuk mengeksploitasi pertahanan tinggi yang diamalkan Aston Villa, malang sekali sewaktu bola dilorongkan kepada penyerang utama atau pemain tengah menyerang, peluang yang terhidang gagal disempurnakan.

Ada juga waktunya di mana pemain sayap berjaya menembusi tetapi pertahanan Aston Villa pantas memperbetulkan langkah dan kembali ke landasan yang tepat untuk melakukan halangan – bukti betapa Aston Villa telah maju di bawah kendalian pengurus mereka yang turut sama luas pengalamannya, Unai Emery.


Atas segala usaha yang mereka taburkan, Chelsea berjaya melakukan empat percubaan tepat setelah pertahanan ketat berjaya diatasi, malangnya mereka gagal melepasi penjaga gol utama Argentina, Emiliano Martinez, yang teguh mengawal gawang.

Saingan di antara kedua-dua pasukan kekal sengit sehinggalah pada separuh masa kedua Chelsea terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan mula hilang pedoman.

Satu kesilapan pemain veteran Chelsea, Thiago Silva, sudah cukup untuk membolehkan Aston Villa memecahkan kebuntuan dan sekali lagi mengakibatkan Chelsea pulang dengan tangan kosong di halaman sendiri.

Agak kasihan melihatkan nasib Pochettino. Sewaktu menggalas tugas sebagai pengurus Paris Saint-Germain dahulu, dia berhadapan masalah untuk membuat pemain berstatus bintang mendengar nasihatnya kerana pemain-pemain tersebut sememangnya mempunyai ego yang tinggi.

Masalah bersama Chelsea pula bukannya melibatkan ego tetapi kedegilan dan sikap naif anak-anak muda – sekadar menyebutkan salah satu daripada pelbagai senarai masalah yang melanda ketika ini.

Melihatkan reaksi penyokong Chelsea di media sosial, seruan untuk Pochettino dipecat sudah mula meraih momentum, maka tertanya-tanya juga sampai bilakah kitaran sebegini akan berulang?
 

Advertisement

Must Watch Video