Penolong jurulatih Kuala Lumpur City FC, Nenad Bacina, sedia untuk mengadakan perbincangan serius seandainya ada pasukan benar-benar memahukan khidmatnya.

Sebelum ini, nama bekas pemain Croatia itu hangat disebut-sebut akan menggantikan Nafuzi Zain di Kuala Terengganu selain seorang lagi calon, Tomislav Steinbruckner

Bagaimanapun, sehingga ke saat ini, tiada sebarang tawaran rasmi dikemukakan mana-mana pasukan untuk melamarnya, termasuk Terengganu FC.

"Masih belum ada sebarang perbincangan rasmi antara saya dengan Terengganu," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"Sudah pasti saya perlu mengakui bahawa Terengganu sebuah pasukan yang besar, antara kelab terbaik di Malaysia, dan sudah pasti saya bebesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pasukan itu.

"Tetapi setakat ini, saya tidak menerima sebarang perbincangan dan tawaran rasmi daripada mana-mana kelab, termasuk Terengganu," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard, tidak menghalang seandainya Nenad memperoleh tawaran yang lebih baik bagi musim depan.

Namun, ia perlu melalui proses perbincangan memandangkan pengendali itu masih memiliki baki kontrak bersama pasukannya sehingga November 2022.

"Apabila kami mendatangkannya ke KL City, kami tahu dia akan menjadi gandingan yang hebat dengan (ketua jurulatih) Bojan Hodak.

"Dan kini, apabila dia mahu mengembangkan legasinya sendiri, saya menerimanya dengan hati yang terbuka," katanya.