Lautaro Martinez tidak akan meninggalkan Inter dan gembira dengan kepulangan Romelu Lukaku, kata ejennya.

Lautaro telah dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk Tottenham dan Chelsea tatkala penggempur Belgium itu kembali ke San Siro, malah barisan serangan Inter berpotensi untuk diperkasakan lagi dengan penambahan ejen bebas, Paulo Dybala.

Bagaimanapun, biarpun terdapat persaingan yang sengit tetapi ejen penyerang Argentina itu, Alejandro Camano, menjelaskan pemain tersebut akan kekal di Nerazzurri dan gembira dapat bersatu semula dengan Lukaku.

"Terdapat keserasian di antara mereka. Peluang menyarung jersi ini bukan untuk semua orang," katanya kepada Gazzetta dello Sport.




“Ia satu perkara yang hebat. Lautaro Martinez menjaringkan 21 gol Serie A untuk Inter pada 2021-22.

"Dia gembira di Milan, dia berasa seperti berada di satu tempat yang disayangi.

"Kenapa kami mahu pergi? Ke mana? Kami sudah pun berada di puncak."

Martinez merupakan penjaring terbanyak Inter dalam Serie A musim lalu ketika mereka mengakhiri saingan di tempat kedua -- di belakang Milan dan jumlah 21 golnya hanya diatasi pemain Lazio, Ciro Immobile, (27) dan Dusan Vlahovic daripada Juventus (24) yang dibeli daripada Fiorentina pada Januari lalu.

Inter memulakan kempen Serie A di Lecce pada 15 Ogos depan, dengan perlawanan pertama di tempat sendiri akan berlangsung minggu berikutnya ketika menentang Spezia.