Tiada muka baru tiada masalah buat ketua jurulatih Selangor FC (SFC), Karsten Neitzel, yang terus menaruh kepercayaan kepada barisan sedia ada termasuk kudrat daripada skuad pembangunan SFC untuk menghadapi baki kempen Liga Super.

Selangor hari ini memulakan kem latihan berpusat dengan disuntik kembali kehadiran pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan.

Selain Tim Heubach dan Safuwan Baharudin, Neitzel paling teruja dengan kelibat Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim yang belum pernah buat penampilan bersama SFC sejak perpindahan daripada Sri Pahang pada awal musim.

Sementara dua pemain yang diserap daripada SFC 2 untuk kem latihan ini membabitkan posisi pertahanan dan jentera serangan.

"Sejak perlawanan terakhir bertemu Terengganu, pemain telah berehat dan kini semua sudah bersedia untuk menjalani latihan bagi baki saingan sembilan perlawanan," kata Neitzel.

"Beberapa pemain terpaksa diketepikan ekoran kecederaan jangka masa panjang sementara Brendan Gan dan Syahmi Safari bersama skuad kebangsaan. Saya memerlukan barisan terbaik dalam sesi latihan bagi mendapatkan mutu permainan yang terbaik bagi menterjemahkan apa yang mahu diterapkan ke dalam pasukan."