Ketika ramai mempertikaikan hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk menandatangani pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools, pemerhati bola sepak negara memberikan pandangan berbeza.

Buat bekas pemain negara, Asmawi Bakiri, yang pernah menjuarai Piala Malaysia edisi 1995, 1996 dan 1997, Pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium itu telah mempamerkan peningkatan ketara sepanjang menyarung jersi Harimau Malaya dan perpindahan ke JDT tidak akan menjejaskan prestasinya.

"Dia sudah melakukan 11 penampilan buat skuad kebangsaan sejak melakukan penampilan pertama pada 3 Jun tahun lalu dan menjaringkan satu gol ketika berdepan Bangladesh," kata Asmawi kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Sebenarnya, Dion Cools membuat satu keputusan yang tepat pada waktu dan situasi yang tepat jika kita mengambil kira keberaniannya untuk menyarung jersi kebangsaan dan meningkatkan data peribadinya sepanjang tempoh itu.

"Akhirnya, dengan keputusan itu, dia telah menjadi pemain dengan nilai paling tinggi di Malaysia selain menjadi pilihan utama dan pemain toggak dalam pasukan negara," katanya.

Turut senada dengan Asmawi adalah bekas ketua jurulatih yang membimbing Kedah Darul Aman FC memenangi gelaran 'treble' musim 2007 dan 2008, Azraai Khor Abdullah, yang menganggap minit permainan merupakan sesuatu yang lebih penting buat mana-mana pemain tanpa mengambil kira di mana mereka berada.

"Bagi saya, tidak kira di mana saja anda bermain, tidak semestinya di luar negara kerana beraksi dalam negara, jika anda bermain 90 minit dalam setiap perlawanan, ia akan menjadi kelebihan yang besar.

"Ditambah pula dia merupakan seorang pemain kebangsaan, dengan kebolehannya, amat disayangkan sekiranya dia kekal di Eropah tetapi tidak dapat minit permainan yang sewajarnya.

"Lebih baik dia kembali ke liga kita kerana berdasarkan kemampuannya, dia boleh berada dalam kesebelasan utama," katanya.

JDT dijangka akan mendapatkan khidmat Cools secara ejen bebas hujung tahun ini atau awal tahun depan bagi mengelakkan nilai perpindahan yang terlalu tinggi sekitar RM4.5 juta daripada kelab Belgium, Zulte Waregem.