Jose Mourinho mengakui menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini mungkin satu angan-angan buat Manchester United.

Keputusan 1-1 di laman sendiri berdepan West Ham minggu lalu meletakkan United di kedudukan keenam liga, ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Chelsea.

United gagal menjuarai Liga Perdana Inggeris sejak musim 2012-13 dan Mourinho mengakui menamatkan kemarau tanpa kejuaraan sukar untuk dilaksanakan tatkala United masih bergelut untuk melupakan corak permainan yang diterapkan Louis van Gaal sebelum ini.

"Apabila seorang pengurus mengambil alih pasukan baharu, apa yang akan dilakukan adalah menerapkan pendekatan baru," jelas Mourinho menjelang perlawanan berdepan Everton pada Ahad.

"Jadi, apa yang diperlukan hanyalah sedikit sentuhan daripada pengendali baru dan segalanya akan berubah dengan sendirinya. Bagaimanapun, kami sedang melakukan sesuatu yang nyata berbeza di sini.

"Kami mungkin mendapat keputusan lebih baik sekiranya kami tidak cuba untuk menerapkan perubahan ketara. Saya bukan bercakap tentang aspek taktikal tetapi saya bercakap tentang cara pasukan ini mahu bermain dan itu adalah sesuatu perkara yang paling sukar untuk diubah dalam bola sepak."

Mourinho menambah: "Dalam saingan liga, kami tidak mendapat keputusan yang sewajarnya meskipun bermain dengan baik.

"Tidak dinafikan pemain mula menampakkan kemajuan. Kami tahu objektif utama adalah untuk muncul juara tetapi saya rasa kami tidak akan mampu melakukannya musim ini.

"Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku tetapi jurang mata ketika ini terlalu besar. Saya tidak tahu bila kami akan lakukannya, mungkin selepas ketiadaan saya."

Sementara itu, Mourinho meluahkan rasa tidak puas hati ekoran terpaksa menjalani penggantungan satu perlawanan ketika aksi Piala EFL berdepan West Ham pada Rabu susulan menyepak botol air minggu lalu.

Ia merupakan penggantungan keduanya musim ini dan Mourinho berkata: "Saya mahu peraturan sama dikenakan terhadap semua pengurus.

"Saya menendang botol air, saya tidak boleh melakukannya. Jika saya melakukannya, saay akan dibuang dan dikenakan penggantungan.

"Jadi, saya menerima penggantungan itu. Jika kamu lihat balik insiden itu, ketika pengadil datang, saya terus pergi dan tidak berkata apa-apa.

"Tetapi peraturan itu haruslah dikenakan terhadap semula pengurus."