Ketiadaan penyerang utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, yang masih direhatkan ketika bertemu Penang FC semalam tidak memberi kesan yang memdalam kepada Harimau Selatan apabila berjaya menumbangkan Harimau Kumbang di tempat lawan.

Ini menunjukkan bahawa anak didik Benjamin Mora itu sentiasa bersedia dalam keadaan apa sekali pun bagi menggekalkan objektif mereka untuk memburu kejuaraan kali kesembilan berturut-turut dan seterusnya untuk layak ke Liga Juara-juara AFC musim hadapan.

Jika diperhalusi kejayaan skuad kendalian Mora itu semalam, jelas menunjukkan sikap kerjasama berpasukan yang tinggi serta meneruskan keharmonian dalam pasukan.

Ini diterjemahkan melalui kehadiran Fernando Rodriguez dalam skuad JDT semalam walaupun sebelum ini pemain kelahiran Sepanyol beraksi untuk JDT II.

Keserasian dan persefahaman yang baik di antara Rodriguez dan rakan-rakan lain tiada masalah dan itu dibuktikan melalui jaringan beliau apabila menerima hantaran lintang daripada Arif Aiman.

Semua ini berlaku, daripada pemerhatian penulis, apabila wujudnya falsafah dan identiti bola sepak JDT, di mana pengurusan kelab telah meletakkan batu asas cara bagaiamana yang perlu diterapkan oleh mana-mana jurulatih yang memimpin Harimau Selatan itu.

Bukan itu sahaja, falsafah bola sepak JDT itu juga telah diterapkan ke seluruh peringkat umur kelab, baik dari feeder team sehingga ke akademi Harimau Selatan dan dengan itu sebenarnya ia telah memberi kelebihan kepada skuad bimbingan Mora.

Sebab itu apabila ketiadaan pengempur utama JDT, Bergson, atau mana-mana pemain sekali pun, ia tidak memberi kesan ketara kepada Harimau Selatan.

Ini kerana pemain-pemain mereka sudah memahami corak bagaimana yang perlu dimainkan walaupun pemain bertukar ganti.

Selain itu juga, pengurusan JDT bijak dalam memilih pemain-pemain untuk dibawa masuk ke skuad Harimau Selatan. Itu yang membolehkan JDT sentiasa konsisten dalam setiap perlawanan dan telah memberi keputusan yang positif sebagaimana yang telah dibuktikan ketika menentang Penang.