Thomas Tuchel disabitkan dengan kesalahan berkelakuan tidak wajar oleh Persatuan Bola Sepak (FA) berhubung komen yang dibuatnya mengenai pengadil, Anthony Taylor, selepas Chelsea seri 2-2 dengan Tottenham.

Chelsea dinafikan kemenangan 'derby London' itu dengan gol penyamaan oleh Harry Kane pada minit ke-96 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama mereka di laman sendiri minggu lalu hingga mengundang kemarahan Tuchel yang menggariskan beberapa siri kekasaran yang tidak diendahkan Taylor.

Tuchel mendakwa tiada satu gol Tottenham pun yang sepatutnya dikira apabila menegaskan Richarlison menyekat pandangan Edouard Mendy dari kedudukan ofsaid ketika Pierre-Emile Hojbjerg menyamakan kedudukan, sebelum Cristian Romero menarik rambut Marc Cucurella ketika tandukan gol Kane.

Pengurus Chelsea itu kemudian berkata adalah lebih baik sekiranya Taylor tidak lagi ditugaskan dalam perlawanan membabitkan pasukannya, sambil menambah: "Saya jamin di seluruh bilik persalinan kami sekalipun, setiap orang berfikir begitu."




FA dilaporkan minggu lalu sedang menyiasat komen itu dan jurucakap badan induk bola sepak Inggeris berkenaan mengesahkan pertuduhan terhadap Tuchel.

Tuchel mempunyai tempoh selama tiga hari untuk menjawab pertuduhan itu dan turut didakwa berkelakuan tidak wajar pada minggu lalu, dengan kedua-dua kejadian berkenaan tercetus ketika bertemu Spurs.

Dia termasuk rakan sejawatnya, Antonio Conte, dilayangkan kad merah berikutan pergaduhan di garisan tepi itu sebaik wisel penamat dengan pengurus berbangsa Jerman itu kemudian digantung satu perlawanan.

Chelsea telah mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan dan akan melayan kunjungan Leicester City, Sabtu ini.