Thiago Silva ingin rakan sepasukannya dari Brazil, Neymar, menyertainya di Chelsea sekiranya pemain lincah itu meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG).

Timbul spekulasi mengenai masa depan Neymar di ibu negara Perancis itu baru-baru ini dengan kelab Perancis berkenaan dilaporkan sedia melepaskannya andai menerima tawaran yang sesuai.

Bekas ejen Neymar, Wagner Ribeiro, minggu lalu berkata pemain berusia 30 tahun itu mahu kekal bersama PSG bagi memenuhi impiannya memenangi Liga Juara-Juara di sana.

Bagaimanapun, Thiago Silva, 37, yang pernah beraksi di samping Neymar di peringkat antarabangsa dan di PSG dari 2017 hingga 2020 menggesa penyerang itu menyertainya di Stamford Bridge.

"Dia perlu ke Chelsea," kata pertahanan itu kepada Globo mengenai Neymar yang baru menyambung kontraknya hingga 2025.




"Jika dia ingin berpindah maka dia harus ke sana. Jika ia berlaku, ia adalah jalan yang terbaik.

“Kita tidak perlu bercakap mengenai kemampuan Neymar. Selain itu, dia adalah rakan terbaik.

"Saya harap ia boleh berlaku dan bukannya sekadar menjadi bahan berita, tetapi saya tidak tahu apa-apa mengenainya."

Beberapa hari kebelakangan ini, The Blues dikaitkan dengan seorang lagi pemain Brazil, Raphinha, yang menyarung jersi Leeds United tatkala mereka belum berbelanja lagi menjelang musim depan.

Pertukaran pemilikan kelab London itu selesai bulan lalu dengan kumpulan yang diketuai oleh Todd Boehly tersebut menggantikan Roman Abramovich.